Lawatan kerja Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sabah memberi seribu makna kepada Safri Leman, 44 tahun, apabila beliau sudi meluangkan masa ke rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Taman Sri Keramat, Putatan pada Jumaat.

Perdana Menteri mengambil peluang masa yang ada bagi menziarahi anak Safri, Daniel Zafwan, 10, yang menghidap autisme dan jantung berlubang sehingga terpaksa bergantung hidup pada bateri yang perlu diganti setiap 10 tahun sekali.

Safri langsung tidak menyangka nasib anaknya itu mendapat perhatian Perdana Menteri sehingga sanggup datang menziarahinya.

Kisah lawatan singkat itu turut dikongsikan oleh Muhyiddin di laman sosial Facebook rasmi beliau.

“Lebih menyentuh hati saya, anak pertama daripada empat adik beradik itu terpaksa menggunakan alat perentak jantung (pacemaker) bagi membantu beliau menjalani kehidupan. Keadaan jantung yang lemah dan bengkak menyebabkan adik Danial Zafwan mudah letih dan sukar bernafas.

“Saya sedikit lega apabila dimaklumkan oleh bapanya, Encik Safri Leman bahawa bantuan Prihatin Nasional (PRIHATIN) yang disediakan kerajaan sedikit sebanyak membantu meringankan bebannya yang bertugas sebagai pemandu di sebuah agensi kerajaan dalam menyediakan keperluan perubatan anaknya itu,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran yang dikongsinya.

Muhyiddin meluangkan masa sekitar lima belas minit berbual dan bertanya khabar dengan keluarga Safri.

Anak sulung daripada empat beradik berkenaan disahkan menghidap jantung berlubang pada usia dua tahun sebelum menjalani pembedahan di India pada 2012.

Satu lagi pembedahan terpaksa dilakukan pada 2017 selepas jantung Daniel didapati terhenti.

Jelas Safri, Perdana Menteri sempat berpesan kepada beliau agar menjaga anaknya itu sebaik mungkin.

Tan Sri Muhyiddin kemudiannya turut berkesempatan menziarahi Dunaing Majid, yang cacat penglihatan dan menjaga dua orang anak yang menghidap autisme.

Dalam pertemuan singkat itu, Dunaing berulang kali mengucapkan terima kasih atas bantuan PRIHATIN yang disediakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya amat membantu.

Perdana Menteri turut meminta Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah untuk melihat bentuk bantuan yang boleh disediakan kepada dua keluarga terbabit.