Dipilih daripada 5,847 pemohon, penerima dinilai berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan dan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti kokurikulum.
"Penerima biasiswa akan melanjutkan pelajaran mereka di universiti tempatan dan antarabangsa yang terkenal, termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Korea Selatan dan Jepun," menurut kenyataan Petronas.
Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Bakke Salleh, dan Naib Presiden dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan Ruslan Islahudin menyampaikan tajaan kepada para pelajar pada majlis penyampaian anugerah yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.
Lebih 1,000 tetamu menghadiri majlis itu, termasuk pelajar, pihak berkepentingan, serta wakil dari universiti dan kolej terkemuka.
Dalam kenyataan sama, Mohd Bakke berkata sejak 50 tahun lalu pihaknya komited untuk memupuk pengetahuan dan pembangunan modal insan, dan sejak 1975 Petronas telah melabur RM3.81 bilion dalam biasiswa pendidikan yang memberi manfaat kepada lebih 39,000 pelajar di seluruh negara.
"Inisiatif Powering Knowledge kami membuktikan komitmen untuk memupuk usaha akademik pelajar dan pendidik, memastikan mereka dilengkapi untuk berkembang maju dalam dunia yang semakin dinamik. Kami berdedikasi membantu mereka membuat sumbangan bermakna kepada masyarakat," katanya.
Mohd Bakke menekankan bahawa komitmen ini mencerminkan dedikasi syarikat untuk memperkasakan bakat muda, sejajar dengan tema Meneruskan Legasi Kecemerlangan ketika Petronas melihat ke arah masa depan inovasi dan kepimpinan.
Sementara itu, Ruslan berkata kepelbagaian bidang dalam Program Penajaan Pendidikan Powering Knowledge Petronas, termasuk Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Petroleum, Sains Komputer, Ekonomi, dan Undang-Undang, bertujuan untuk mempersiapkan pelajar memenuhi permintaan industri dan masyarakat yang semakin berkembang
"Kami yakin bakat-bakat masa depan ini akan memacu kecemerlangan dalam sektor tenaga dan menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan keseluruhan negara. Sejajar dengan Agenda Kelestarian Petronas dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, inisiatif Powering Knowledge direka untuk melahirkan pemimpin yang akan membawa perubahan sosial yang positif," katanya.
Beliau berkata dengan menyokong pelajar dalam pelbagai bidang, Petronas memastikan generasi akan datang bersedia untuk meneruskan legasi syarikat dalam inovasi dan impak positif masyarakat.
-- BERNAMA