Cinta dan minat kepada fesyen membawa seorang jurutera pada asalnya, Datuk Ida Suraya Mustapha terjun ke dunia baharu yang jauh berbeza daripada apa yang dipelajarinya semasa di universiti.

Ida tidak pernah merasakan ada penghalang untuknya terus mengejar cita-cita meletakkan nama sebaris pereka fesyen terkenal di seluruh dunia.

Ketika ditemui, Ida menjelaskan fasa-fasa awal kariernya yang penuh berliku dan diakui sudah lama rebah jika tidak kuat semangat untuk menempuh setiap cabaran mendatang.

"Saya kehilangan ayah pada usia 11 tahun. Ayah seorang bekas pengusaha bengkel kereta dan ibu pula bekas jururawat.

"Semasa ayah lumpuh selama lapan tahun, ibu yang menjaga ayah. Kami bukan orang senang tetapi itulah 'azimat' untuk saya cekal dalam kehidupan. Saya satu-satunya anak perempuan bongsu daripada lima adik beradik," katanya.


Dunia glamour fesyen

Jelasnya, Kuala Lumpur mengajarnya untuk menjadi lebih cekal lebih-lebih lagi butik fesyen yang dimilikinya memerlukan 100 peratus komitmen daripadanya,

"Cabaran paling besar adalah ditipu. Terjun ke dunia glamor bukan semudah dunia kejuruteraan. Ramai yang cuba mengambil kesempatan.

"Saya dilahirkan dengan kemahiran kejuruteraan dan mesin di sekeliling. Apa yang saya belajar semasa di dunia kejuruteraan dulu tidak sama dengan praktikal fesyen," ujarnya.

Datang ke ibu kota pada 2010, Ida yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah dan mula menceburi bidang perniagaan selepas melihat kejayaan dan layanan orang terhadap Pengarah Perwaja Steel Sdn. Bhd. pada masa itu, Tan Sri Abu Sahid Mohamed tanpa teragak-agak mengorak langkah dalam fesyen.

Selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan elektrik, elektronik dan sistem di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ida bekerja selama hampir enam tahun sebagai jurutera di Perwaja Steel Sdn. Bhd.

"Saya minat fesyen sejak kecil lagi. Dahulu saya selalu terbayang menjadi Cinderella atau mana-mana puteri dalam filem fiksyen.

"Namun penampilan semasa menjadi jurutera menjadi sedikit penghalang namun itu bukan alasan untuk saya mengubah identiti. Saya nampak ramai wanita di luar sana yang cuba menjadi lembut namun masih ada kekerasannya.

"Pemikiran saya berlainan dari orang. Saya mahu bawa penampilan dan mengubah penampilan dari bersama mesin-mesin kepada kelembutan keterampilan dan perwatakan seharian," katanya.


KL ajar untuk lebih hati-hati

Walaupun mengakui Kuala Lumpur banyak mengubah nasibnya kepada labih baik, Ida tetap mengaku, ibu kota ini juga banyak mengajarnya untuk lebih berhati-hati.

"Ada orang yang baik tetapi hendak memijak kepala kita. Itu antara cabaran yang besar.

"Namun saya kuatkan semangat untuk terus mara ke hadapan. Saya jadikan ia satu peluang dan tahu fesyen ini tidak akan berhenti berkembang, ia trend yang mengikut pasaran semasa walaupun keadaan ekonomi meleset.

"Bagaimanapun dari segi bisnes, saya kena pelbagaikan serta mengembangkan perniagaan dengan membuat kerjasama bersama syarikat antarabangsa," jelasnya.

Kata Ida, Kuala Lumpur juga juga mengajarnya untuk mendalami dunia fesyen dengan lebih formal dan profesional.

"Saya perlu mahir dari pelbagai aspek fesyen, manik, fabrik dan sebagainya. Saya berpegang dengan asas kalau mahu pergi lebih jauh, kita kena betul-betul faham dengan pelbagai perkara berkaitan," ujarnya.

Mengakui menggunakan pelbagai teori kejuruteraan semasa mencipta fesyen baru, Ida tahu bakatnya dalam matematik dan pelajaran berkaitan banyak membantunya kali ini.

"Saya guna prinsip kejuruteraan, matematik, sains dan solekan dengan cara kejuruteraan.

"Saya buat 'structure design', ada bezanya sebab saya aplikasi kejuruteraan dalam fesyen. Ia sentiasa berkait rapat dengan teknik kejuruteraan. Ada kira-kiranya dan perlu juga lukisannya," katanya.

Ida tahu, meniti kegemilangan memiliki butik fesyen di Kuala Lumpur merupakan landasan untuknya mengembangkan produknya ke luar negara.

"Keunikan ini satu cabaran. Membawa kejuruteraan ke dalam fesyen dan membuat perkara yang tidak pernah dibuat dalam fesyen adalah satu keseronokan.

"Ibu kota sentiasa memberi idea kepada penciptaan yang lebih hebat. Saya bercita-cita untuk membawa produk fesyen ini ke peringkat tertinggi," jelasnya.

Mengakui sedikit gentar dengan pertunjukan fesyen bertema perkahwinan yang akan diadakan pada akhir Februari ini, Ida berkata ia rentetan curahan idea kejuruteraan yang diserap di dalam pakaian pengantin.

Sebelum ini, Ida pernah menganjurkan pertunjukan fesyen berkonsepkan safari serta flora dan fauna selain mengakui mahu menjadi peneraju fesyen untuk warga kota termasuk semua produk berkaitan termasuk beg tangan, kasut dan aksesori.