Tinjauan Astro AWANI mendapati, warga kota tidak melepaskan peluang ke bazar Ramadan popular itu seawal jam 3 petang meskipun dalam keadaan cuaca panas terik.
Pengunjung bazar, Samsiah Halil yang merupakan warga Singapura tidak melepaskan peluang datang melihat sendiri ribuan jenis juadah yang dijual sepanjang tapak bazar berkenaan.
“Ini merupakan hari keenam saya di Kuala Lumpur dan bakal balik ke Singapura malam ini.
“Saya tinggal di hotel berdekatan, petugas hotel memberitahu Bazar Ramadan Kampong Bharu terkenal dengan makanan yang sedap. Jadi saya bawa anak-anak ke sini,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Nurul Aiza Zaharuddin yang pertama kali berniaga di tapak bazar Ramadan berkenaan mengaku teruja melihat sambutan yang diterimanya.
“Sebelum ini saya berniaga di Sri Rampai, tahun ini ada kelainan sikit. Ada rezeki berniaga di sini.
“Saya memilih jual air balang kerana minuman menjadi pilihan orang ramai sepanjang Ramadan. Hari ini saya bawa 300 cawan. Harapan saya agar semua habis sebelum saya pulang,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga air balang, Zulhilmi Ahmad Tarmizi memberitahu, suasana bazar Ramadan tahun ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini, khususnya apabila dibandingkan denga tahun-tahun sebelumnya ketika negara masih bergelut untuk keluar dari cengkaman pandemik COVID-19.
“Ini tahun keempat saya di sini. Harapan saya sama seperti sebelum ini agar air habis dijual dan dapat memuaskan hati pembeli ketika buka puasa nanti,” akhirinya.