Kini Trending menyoroti perkara-perkara menarik di laman sosial hari ini, antaranya:-

bruno

Ibu Bruno Mars meninggal dunia

Trending menerusi laman sosial ialah berita kematian ibu kepada penyanyi pop, Bruno Mars.

Ibunya, Bernadette Hernandez, 55, disahkan meninggal dunia pada malam 1 Jun akibat komplikasi saraf pada bahagian otaknya.

Mars yang sebelum ini bakal mengadakan konsert jelajah di seluruh Amerika Syarikat pada bulan ini masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada akan berlaku sebarang penundaan susulan pemergian ibunya.

duolingo

Duolingo kini di Android!

Sementara itu, laman web Duolingo yang menawarkan pembelajaran pertuturan asas dalam bahasa asing semakin mendapat perhatian. Ia kini dilancarkan dalam versi Android.

Duolingo juga memaparkan beberapa peringkat pembelajaran secara interaktif disamping pengguna boleh mengetahui cara menyebut sesuatu perkataan dengan betul.

IRADIO

Apple bakal lancar iRadio sempena WWDC 2013

Masih mengikuti perkembangan teknologi, syarikat gergasi Apple bakal memeterai perjanjian dengan Warner Music untuk pelancaran khidmat iRadio.

Konsep iRadio ini sudah hampir setahun diperkenalkan oleh Apple, namun disebabkan berdepan dengan masalah perlesenan dan tuntutan royalti oleh label muzik, ianya ditunda sehingga kini.

iRadio akan menawarkan perkhidmatan penstriman muzik secara percuma dan dijangka dilancarkan pada 10 Jun ini di San Francisco.




Grumpy Cat ke layar perak!

Turut mencuri tumpuan, ratu kucing muram iaitu Grumpy Cat dilaporkan bakal ke layar perak susulan populariti sekelip mata di internet.

Penerbit filem, Todd Garner dilaporkan sedang dalam usaha untuk menghasilkan filem berkisarkan Grumpy Cat atau nama sebenarnya Tardar Sause yang akan menyerupai filem "Garfield".

Grumpy Cat sememangnya mempunyai ramai peminat apabila ia meraih lebih 965,000 like di laman Facebook dan pernah dinamakan sebagai kucing paling berpengaruh oleh MSNBC.

ROKOK

Harga rokok naik

Selain itu, kenaikan harga rokok sebanyak 3 peratus yang berkuat kuasa mulai hari ini juga menjadi bualan utama sepanjang hari ini.

Peningkatan kos operasi dan tekanan inflasi adalah penyumbang utama kenaikan harga tersebut.

Seperti dijangka ramai pengguna rokok membantah keputusan itu malah ada diantaranya membuka akaun laman sosial Facebook, 'Gerakan Membantah Harga Rokok Naik' manakala terdapat juga sebilangan masyarakat yang berpendapat ia merupakan langkah sesuai untuk membasmi tabiat merokok.

Untuk mengetahui lebih banyak tumpuan menarik di laman media sosial, jangan lupa saksikan Kini Trending, setiap hari jam 8.15 malam dan ulangan pada 11.45 malam di Astro Awani.