Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, terma perdagangan Malaysia meningkat 1.3 peratus bulan ke bulan kepada 117.5 mata pada September manakala pada asas tahunan, terma perdagangan Malaysia menokok 6.1 peratus daripada 110.7 mata pada September tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks nilai seunit eksport susut sebanyak 0.6 peratus pada September 2024 berbanding Ogos 2024, dipacu oleh kejatuhan indeks minyak galian (-4.0 peratus), barang-barang keluaran kilang (-1.4 peratus) dan bahan kimia (-0.8 peratus).
Pada masa yang sama, indeks volum eksport susut 3.2 peratus selaras dengan penyusutan indeks barang-barang keluaran kilang (-12.4 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (-10.6 peratus) dan minyak galian (-10.2 peratus).
Indeks volum eksport pelarasan bermusim turut merosot 13.5 peratus daripada 170.3 mata kepada 147.3 mata. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit naik 3.3 peratus manakala indeks volum jatuh 3.4 peratus.
DOSM berkata indeks nilai seunit import menurun 1.9 peratus pada September 2024, disumbangkan olehpenurunan indeks minyak galian (-9.8 peratus), bahan kimia (-1.0 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.5 peratus).
Indeks volum import turut jatuh 8.5 peratus pada September 2024 berbanding bulan sebelumnya, disebabkan oleh kejatuhan dalam indeks bahan kimia (-18.5 peratus), barang-barang keluaran kilang (-14.2 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-8.0 peratus).
Indeks volum import pelarasan bermusim merosot 18.2 peratus daripada 229.1 mata kepada 187.3 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import menyusut 1.4 peratus dan indeks volumbertambah 14.0 peratus.
Namun begitu, terma perdagangan Malaysia berkembang 1.3 peratus bulan ke bulan kepada 117.5 mata pada September 2024, dipacu oleh kenaikan indeks minyak galian (6.4 peratus), makanan (1.2 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.7 peratus).
-- BERNAMA