Ringkasan AI
- Purata gaji dan upah rakyat Malaysia meningkat 6.9% pada tahun 2023, dengan penengah gaji bulanan meningkat kepada RM2,602 dan purata gaji bulanan meningkat kepada RM3,441.
- Pekerja mahir mencatatkan peningkatan purata gaji sebanyak 7.5%, dengan pengurus merekodkan purata gaji tertinggi sebanyak RM6,640. Pekerja separuh mahir dan berkemahiran rendah juga mengalami peningkatan gaji.
- Jurang purata gaji antara negeri masih melebar, dengan Putrajaya mencatatkan purata gaji tertinggi sebanyak RM4,858, manakala Kedah mencatatkan purata gaji terendah sebanyak RM2,859.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata perkembangan positif itu adalah hasil daripada pelbagai inisiatif pemantapan ekonomi yang dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hidup tenaga buruh di Malaysia.
"Penengah gaji dan upah bulanan bagi warganegara Malaysia meningkat kepada RM2,602, mencerminkan pertumbuhan yang stabil daripada RM2,429 pada tahun 2022.
"Begitu juga, purata gaji dan upah bulanan meningkat kepada RM3,441 berbanding RM3,219 yang dicatatkan pada tahun 2022," katanya menerusi Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2023 yang diterbitkan hari ini.
Statistik ini dikumpul berdasarkan Survei Gaji dan Upah yang dijalankan oleh DOSM melalui pendekatan isi rumah untuk mengukur gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja sepenuh masa dalam kalangan warganegara Malaysia yang bekerja di sektor awam dan swasta berdasarkan pekerjaan utama mereka.
Daripada jumlah 15.81 juta pekerja yang direkodkan pada tahun 2023, bilangan pekerja sepenuh masa dalam kalangan warganegara Malaysia adalah seramai 10.11 juta orang.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata purata gaji dan upah bulanan bagi pekerja mahir meningkat sebanyak 7.5 peratus, mencatatkan peningkatan RM364 kepada RM5,242 berbanding RM4,878 pada 2022.
"Dalam kalangan pekerja mahir, kategori pengurus kekal merekodkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi sebanyak RM6,640, meningkat 5.1 peratus berbanding RM6,319 pada tahun 2022 dan diikuti oleh profesional (RM6,139) dan juruteknik dan profesional bersekutu (RM3,854).
"Selain itu, purata gaji dan upah bulanan bagi pekerja separuh mahir meningkat kepada RM2,475 berbanding RM2,335 pada 2022, terutamanya disumbangkan oleh pekerja sokongan perkeranian (RM2,789), diikuti pekerja perkhidmatan dan jualan (RM2,421), pekerja kemahiran dan pertukangan (RM2,385) serta operator mesin dan pemasang (RM2,311)," memetik laporan itu.
Sementara itu, purata gaji dan upah bulanan bagi kategori berkemahiran rendah yang merangkumi pekerja asas, meningkat sebanyak RM147 kepada RM1,982 berbanding RM1,835 pada tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, jurang purata gaji dan upah antara negeri masih melebar apabila Putrajaya (negeri dengan kadar upah tertinggi) merekodkan purata RM4,858 manakala Kedah (negeri kadar upah terendah) mencatatkan purata RM2,859.