KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) berharap semua Ahli Parlimen akan menyokong akta baharu bagi kawalan tembakau dan merokok yang dijangka dibentangkan di Parlimen, Julai ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata draf akta baharu itu sudah dibawa ke Pejabat Peguam Negara untuk kelulusan sebelum rang undang-undang (RUU) berkenaan boleh dibentangkan di Parlimen.

"Kira-kira 27,000 orang maut akibat komplikasi rokok jadi kita harap semua rakyat akan sokong dan apabila kita bawa ke Parlimen, Ahli Parlimen pun akan sokong usaha yang penting ini.

"Rokok bukan sahaja beri kesan buruk jangka panjang tetapi ia juga menyebabkan prestasi serta produktiviti rendah," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2022, di ibu negara, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa akta baharu bagi melarang kegiatan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok, termasuk rokok elektronik (vape), ke atas generasi yang lahir selepas 2005 akan dibentangkan di Parlimen, pada sesi Julai.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi memaklumkan kerajaan tidak mengawal kos pemberian vaksin oleh fasiliti kesihatan swasta susulan penamatan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) pada Selasa.

"Harga vaksin akan ikut harga siling, perkara ini bergantung kepada pihak swasta sebab mereka terpaksa membeli vaksin dan mereka akan buat 'charging' mengenai konsultasi, 'consumables' dan sebagainya, itu bergantung kepada setiap fasiliti.

"Harga akan berbeza-beza, kita tidak kawal, semua vaksin akan ikut harga siling tetapi konsultasi dan sebagainya, itu akan ikut fasiliti," jelasnya.

KKM tambahnya, sedang fokus untuk menyelesaikan pemberian vaksin kepada kanak-kanak yang berusia lima tahun.

Kanak-kanak yang belum mencapai usia lima tahun masih berpeluang untuk mendaftar dan membuat janji temu sehingga 31 Januari 2023.