SHAH ALAM: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Malah, jelas Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, tiada perbincangan mahupun mesyuarat diadakan Kerajaan Perpaduan berhubung perkara itu buat masa ini.

"Semua negara dalam dunia kata GST bagus kecuali Malaysia. Itu satu kenyataan yang ganas… tetapi sekali lagi kita belum bincang mengenai GST.

“Saya tidak memberi komen lebih daripada itu, tiada mesyuarat mengenainya, tiada perbincangan mengenainya sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih. Jadi apa yang boleh saya katakan jika perbincangan belum diadakan, jika pertemuan juga belum diadakan.

"Tetapi teori tentang GST orang selalu bercakap, dekat akhbar ada sahaja orang menyebut tentang perkara itu," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen Akauntan Nasional 3.0, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, beliau berpegang kepada pendirian bahawa GST merupakan sistem cukai yang bagus dan perkara itu dibuktikan melalui 170 negara yang melaksanakannya.

"GST ini memang bagus untuk negara, hanya orang politik tertentu sahaja kata tak bagus. Buatlah kajian di universiti biasa sehingga ternama dalam dunia, tidak ada menyebut GST tidak bagus.

"Kalau GST tak bagus, takkanlah 170 negara sudah melaksanakannya. Untuk apa 83 peratus negara dalam dunia melaksanakan sesuatu yang tidak bagus? Tentulah 83 peratus negara itu membuat keputusan bahawa GST bagus.

"GST hanya tidak bagus hanya kepada sesetengah orang politik yang tidak faham ekonomi. Saya juga sedang buat PhD (pengajian peringkat doktor falsafah) mengenai GST," tambah beliau lagi.