SUBANG JAYA: Hanya kerana tidak memutarkan lagu Tamil, seorang pekerja restoran warga Bangladesh ditampar pelanggan lelaki dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan SS 15/5, di sini, pada 13 Mac lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, pihaknya telah menerima laporan tersebut pada 15 Mac.

"Pada kejadian jam 10.30 malam, Ahad lalu, seorang lelaki bersama rakannya memesan minuman keras ketika berada di restoran berkenaan.

"Ketika kejadian, suspek meminta mangsa memasang lagu Tamil namun dimaklumkan ia tidak boleh dilakukan kerana pemasangan lagu sudah ditetapkan serta tidak boleh diubah.

"Suspek kemudian memarahi dan memaki hamun mangsa sebelum menampar pipi kiri mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mereka kemudian beredar meninggalkan restoran selepas membuat pembayaran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.