IPOH:Hampir RM26 juta peruntukan disediakan bagi usaha pemulihan dan memaksimumkan potensi industri pelancongan di negeri Perak pada tahun 2021.

Peruntukan itu termasuk lebih RM10 juta untuk penganjuran program untuk memberi nafas baharu kepada sektor itu yang sangat terkesan ekoran pandemik COVID-19.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan semula Pelan Tindakan Pelancongan Negeri, selaras Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 yang diumumkan baru-baru ini.

"Kita akan bersama-sama dalam merancang semula pembangunan pelancongan yang lebih inklusif, di mana beberapa fokus yang telah diumumkan akan dijadikan teras, ataupun perhatian, untuk kita laksanakan dalam pelan pembangunan kita.

"Ini termasuk enrichment of tourist experience dan kepuasan hati, usaha-usaha untuk sustainable tourism, mempertingkatkan ataupun memperkasakan modal insan di dalam industri pelancongan tersebut.

"Begitu juga pengenalan sub-sektor baru ataupun aktiviti-aktiviti baru, khususnya di negeri Perak dan mempergiatkan teknologi e-based tourism," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media sempena pengumuman dan penyerahan insentif Belanjawan 2021 bagi sektor pelancongan, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan insentif bernilai kira-kira RM1.2 juta kepada penggiat industri pelancongan seperti bantuan 'one off’ RM700 kepada 300 pemandu pelancong yang berdaftar, RM2,000 kepada 200 agensi pelancongan dan RM10,000 kepada 12 persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak.

Nolee Ashilin berharap, dengan adanya DPN itu, akan membuka ruang untuk Perak mempertingkatkan usahasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia di dalam membangunkan sektor pelancongan di negeri Perak.

Pada Rabu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan DPN 2020-2030, yang antara lain bagi menjamin kelangsungan industri pelancongan negara serta kembali menjadikan Malaysia destinasi pelancongan terpilih di peringkat global.

Menurutnya, matlamat itu akan dicapai melalui pendekatan utama yang merangkumi pengukuhan daya saing, pembangunan sektor pelancongan secara lestari dan inklusif serta kesediaan mengharungi bencana pada masa akan datang.