KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor telah mengarahkan jabatan dan agensi menangani semua bentuk halangan dalam pelaksanaan projek pembangunan dengan kadar segera.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan jabatan dan agensi di Sabah untuk segera menangani semua halangan dalam pelaksanaan projek pembangunan, termasuk 25 projek 'sakit' yang gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
  • Beliau menekankan pentingnya menggunakan sepenuhnya peruntukan RM6.6 bilion dari Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan Sabah, termasuk projek sekolah baharu, pemulihan Sungai Tuaran, dan pembinaan klinik baharu.
  • Hajiji menegaskan keperluan mengurangkan miskin tegar di Sabah melalui intervensi oleh Sekretariat SMJ dan memaksimumkan hubungan serta prestasi antara agensi pelaksana persekutuan dan negeri untuk manfaat rakyat.


Beliau berkata terdapat 1,218 projek yang sedang dilaksanakan di Sabah dan 25 daripadanya dikategorikan sebagai 'sakit' termasuk dari segi kemudahan tenaga, air, elektrik, sekolah dan kesihatan serta lain-lain yang gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

"Kesemua projek ini adalah berkepentingan awam justeru itu, segala usaha perlu diambil untuk mengutamakan dan memastikan ia siap," menurutnya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Majlis itu turut diberi taklimat mengenai Jawatankuasa Khas Bersama Negeri-Persekutuan yang dibentuk bagi memantau projek pembangunan di Sabah terutama yang bermasalah manakala bagi program pembasmian miskin tegar, ia diberi taklimat oleh Sekretariat SMJ bahawa negeri itu berada di landasan betul ke arah mencapai sasarannya iaitu sifar miskin tegar.

Hajiji berkata adalah penting bagi Kerajaan Negeri Sabah menerusi Sekretariat SMJ memperkenal intervensi untuk mengurangkan kewujudan miskin tegar di negeri itu.

Beliau turut menggesa agensi pelaksana persekutuan dan negeri agar memaksimumkan penggunaan RM6.6 bilion yang diperuntuk oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Belanjawan Negara 2024 bagi pembangunan di Sabah tahun ini.

Peruntukan itu meliputi pelbagai program pembangunan termasuk tebatan banjir, pemulihan Sungai Tuaran, pembinaan sekolah baharu, membaik pulih sekolah usang dan membina klinik baharu serta premis Tamu Desa.

"Adalah mustahak bagi semua jabatan serta agensi berkaitan di Sabah untuk memanfaatkan sepenuhnya peruntukan itu dan menurunkan kuasa kepada agensi teknikal bagi melaksanakan projek pembangunan yang menelan belanja di bawah RM50 juta dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negeri," katanya.

Beliau berkata agensi pelaksana persekutuan dan negeri perlu mengeratkan hubungan antara mereka, meningkatkan prestasi serta kualiti projek bagi manfaat rakyat.

"Kita telah melepasi pertengahan tahun jadi saya mahu kita meneliti dan menyemak prestasi kita terhadap sasaran masing-masing dari segi pelaksanaan projek pembangunan persekutuan dan negeri," katanya.

Setakat 15 Julai lepas, Sabah telah membelanjakan RM1.791 bilion atau 35.46 peratus berbanding prestasi negara sebanyak 43.45 peratus di bawah Rancangan Boleh Pinda Keempat Rancangan Malaysia ke-12.

-- BERNAMA