Ringkasan AI
- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yakin Sabah akan terus menikmati keamanan, kejayaan, dan kemakmuran di bawah naungan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
- Kerajaan negeri akan terus berusaha memajukan Sabah demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat, dengan hasil negeri meningkat berkat tadbir urus kewangan yang baik.
- Pelbagai program, inisiatif, dan bantuan diberikan kepada kumpulan sasar, sejajar dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan hampir empat tahun lalu.
Beliau berkata Musa adalah payung bagi seluruh rakyat, simbol kedaulatan negeri yang bermaruah serta pengukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
"Institusi Yang Dipertua Negeri yang amat dimuliakan ini akan selama-lamanya dijulang tinggi sebagai teras perpaduan rakyat jelata dan simbol kedaulatan bumi Sabah," katanya sempena Istiadat Lafaz Sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-11 Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.
Terdahulu Musa diiringi isteri Toh Puan Faridah Tussin tiba di Dewan Istiadat pada 10.11 pagi sebelum melafazkan sumpah jawatan itu kira-kira 10.22 pagi.
Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus berusaha dan berikhtiar untuk memajukan Sabah demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat negeri itu.
Ketua Menteri berkata hasil negeri juga turut meningkat berkat tadbir urus kewangan negeri yang baik dan telah berjaya mengutip hampir RM7 billion pada tahun lepas.
Beliau berkata pencapaian sangat menggalakkan itu adalah hasil kerja keras dan komitmen tinggi pimpinan kerajaan bersama-sama penjawat awam selaku penggerak jentera kerajaan.
Tambah beliau, kemajuan dan kesejahteraan rakyat juga menjadi agenda utama kerajaan, justeru pelbagai bentuk program, inisiatif dan bantuan diberikan kepada kumpulan sasar khususnya golongan miskin dan miskin tegar.
Hajiji berkata perkembangan yang memberangsangkan itu adalah sejajar dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan hampir empat tahun yang lepas.
"Kerajaan juga memastikan kelestarian khazanah alam, memelihara nilai budaya dan adat resam seluruh kaum, mengekalkan nilai perpaduan dan keharmonian yang sedia terjalin sejak turun temurun serta aspek keselamatan dan ketenteraman awam akan terus diutamakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat," katanya.
-- BERNAMA