Pemberian itu memerlukan pengorbanan yang ikhlas, apatah lagi kalau ia diuji dengan halangan yang perlu ditempuh sebelum sampai kepada penerimanya.
Inilah yang dilakukan krew produksi program Hajat sewaktu mahu menjayakan usaha menyampaikan bantuan kepada masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman, 70 kilometer dari Gua Musang.
"Kita pilih pengembaraan ini kerana dalam banyak-banyak hajat yang diminta, ada dua sahaja hajat daripada komuniti Orang Asli. Kita menerima hajat ni dari Facebook hajat@astroprima. Mereka sampaikan hajat mereka kepada persatuan Yayasan Al-Khalifah (YAK).
"Hajat Orang Asli di Pos Balar ini adalah untuk dibekalkan benih ikan dan membesarkan kolam ikan. Jadi kami lihat hajat ini berbentuk CSR untuk kegunaan kampung mereka. Sebab itu kami pilih hajat ini," jelas penerbit program itu, Azmee Mahmud.
Kuala Lumpur - Gua Musang - Pos Balar
Bercerita lanjut, Azmee berkata, untuk memenuhi hajat penduduk Kampung Pos Balar Lama, pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu ditempuhi.
Dengan keadaan geografi muka bumi yang mencabar, ditambah faktor cuaca yang kurang baik, ia tidak melancarkan segala perancangan awal.
Namun, atas semangat menunaikan amanah yang digalas, segala halngan itu berjaya diharungi selepas 21 jam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Gua Musang dan seterusnya ke Pos Balar.
Begitupun, sepanjang perjalanan yang disertai 13 buah kenderaan pacuan empat roda itu, peserta perlu menggagahkan fizikal, mental dan emosi untuk mengatasi ujian isu logistik termasuk mencari jalan bagi berdepan dengan insiden tanah runtuh di laluan kami.
Hasil perbincangan bersama pihak polis, YAK dan juga Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), perjalanan murni untuk menunaikan hajat penduduk kampung Pos Balar Lama tercapai jua.
Suatu kepuasan hakiki
Hajat untuk membekalkan benih ikan dan membesarkan kolam ikan seperti yang diminta oleh penduduk asal kampung tersebut kepada YAK ternyata mempunyai manfaat menyeluruh kepada komuniti di situ.
"Beberapa pemuda tempatan menyampaikan hasrat dan impian untuk menaikkan taraf ekonomi setempat, bukan saja untuk dirinya malah keseluruhan penduudk kampung.
"Justeru, projek ternakan 10,000 benih anak ikan talapia dan membesrakan kolam ikan tersebut diharap dapat memberi manfaat kepada semua," ujar penyampai hajat, Azhar Mohamed yang juga Pengurus Pembangunan Program YAK.
Sementara itu Azmee berkata, dalam melaksanakan tugas menyempurnakan hajat, ia bukan sahaja dapat membantu meringakankan beban mereka yang memerlukan, malah secara tidak langsung, memberi kesan kepada diri sendiri dan juga kumpulan peserta program.
"Bila kita tengok hajat itu dapat ditunaikan, kita akan rasa puas hati. Paling seronok adalah apabila melihat reaksi tuan punya hajat itu sendiri.
"Apabila hajatnya dapat ditunaikan, perasaan sedih, gembira dan puas hati dirasai. Sedikit sebanyak, ia meninggalkan kesan kepada peserta program untuk menjadi insan yang lebih baik.
"Ini juga membabitkan soal akhlak atau kelakuan. Bila kita masuk kampung mereka, orang melihat pada kita dan juga sebaliknya.
"Kita akan berasa sedih apabila orang yang mempunyai hajat ini tak ada kemampuan dan keupayaan. Jadi bila kita dapat tunaikan hajat, dia akan rasa puas hati, kita pun rasa puas hati," ujar Azmee
Misi kemasyarakatan
Lebih menarik, ekspedisi krew produksi 'Hajat' juga diringi badanbukan kerajaan (NGO) Kengkawan Project yang turut sama menjalankan misi kemasyarakatan mereka menerusi Kembara Hijrah.
Pelbagai aktiviti disusun, termasuk membaik pulih surau, perpustakaan mini, free market serta sukaneka buat anak-anak suku Temiar di kampung berkenaan.
Berkongsi pengalaman, ahli Kengkawan Project, Jojie Hussien, 41, menceritakan, aktiviti yang dilakukan di Kampung Pos Balar Lama adalah sama seperti aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan Kengkawan Project sebelum ini.
Cuma bezanya kali ini, ia diduga dengan pelabagai cabaran dan ujian.
"Kita tetap kuatkan semangat sebab mahu tunaikan hajat orang. Peserta Hajat walau macam manapun tetap perlu ke sini sebab mereka ada tanggungjawab.
"Tetapi Kengkawan Project kira membantu sebagai tulang belakang kepada Team Hajat sendiri, kita nak bantu, kami kuatkan semangat, kami teruskan perjalanan kami. Alhamdulillah," jelasnya.
Bersetuju dengan Jojie, seorang lagi ahli kumpulan NGO itu, Danial Haikal, 45, menyifatkan kepayahan dan cabaran yang ditempuhi sepanjang perjalanan terlerai apabila dapat menunaikan hajat serta menggembirakan penduduk kampung.
"Kami dapatkan rasakan kepuasan iaitu kami dapat sama-sama meninkmati dan mengalami suasana keseronokan itu dengan penduduk kampung sini dengan mengadakan jamuan, menganjurkan pelbagai program, serta aktiviti melibatkan kanak-kanak dan dewasa seperti free market.
"Apa yang dihajatkan penyumbang daripada pihak Kengkawan, Alhamdulillah kami dapat sampaikan dengan cara terbaik," ujar Danial.
Bagi orang kuat Kengkawan Project, Noorliza Ahmad, 44, mungkin aktiviti dan sumbangan yang diberikan nampak kecil, namun, apabila hajat yang dibawa dapat ditunaikan ia satu kelegaan dan kepuasan.
"Barang yang kita bagi dan aktiviti yang kita buat mungkin kecil, tapi apabila melihat muka mereka, ia membawa satu kepuasan pada saya. Mungkin orang boleh kata, 'Eh, bawa beras je? Bawa baju je?', tapi dugaan untuk sampai dan bertemu mereka itu suatu cabaran.
"Kita bawa hajat orang. Bila sampai kepada tuan dia, kita dah sampaikan hajat dan amanah serta sumbangan orang kepada yang memerlukan, " jelasnya.
Tambahnya, pengalaman tiga hari dua malam di Pos Balar tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan berharap, bantuan kepada penduduk di kampung tersebut akan terus disalurkan dari semasa ke semasa.
Ikuti video di bawah ini untuk menyaksikan sendiri perkongsian rasa para peserta program mengenai pengalaman mereka menunaikan hajat di Pos Balar:
* Program Hajat 2016 akan disiarkan pada bulan Ramadan ini, di Saluran 105, Astro Prima.
* Bagi maklumat lanjut tentang aktiviti Kengkawan Project, sila diikuti akaun Facebook KengkawanProject.