Pendidik berusia 44 tahun dari Makmal Perkembangan Kanak-Kanak di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menerima anugerah Guru Terbaik 2024 bagi Pendidikan Prasekolah daripada Asia Education Conclave (AEC), mengiktiraf semangatnya untuk mengajar dan komitmen untuk mengasuh anak-anak kecil.
Nurhayatul melahirkan rasa syukur apabila menerima anugerah itu di Bangkok pada Sabtu.
"Saya amat berbesar hati menerima Anugerah Guru Terbaik - Prasekolah daripada Asia Education Conclave. Platform ini menyatukan para pendidik dari seluruh dunia dan menyerlahkan peranan penting yang kami, sebagai pendidik, mainkan dalam membentuk masa depan.
"Saya amat bersyukur kepada Allah atas nikmat, petunjuk, dan peluang tidak terkira banyaknya yang telah membawa saya ke saat ini. Pengiktirafan ini memenuhi hati saya dengan rasa syukur dan rendah hati, dan saya berasa bertuah dapat berdiri bersama pendidik dan pemimpin yang begitu berdedikasi dalam bidang ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Sabtu.
Nurhayatul dari Kajang, Selangor berkata, beliau mengajar di sebuah prasekolah yang mempunyai kira-kira 150 murid berusia antara tiga bulan hingga enam tahun.
"Saya mengajar mengikut Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan dan anugerah ini adalah bukti usaha kolektif semua pihak yang bekerja keras untuk meningkatkan pendidikan awal kanak-kanak.
"Saya berharap dapat terus memberikan impak positif dalam pendidikan awal kanak-kanak," katanya.
Nurhayatul turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan sekerja, mentor dan keluarganya atas sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bahagi.
"Ada yang mungkin mengatakan saya terlalu tua untuk mengejar impian ini, tetapi saya mengingatkan diri bahawa kehebatan sebenar memerlukan masa untuk diasuh, dengan ramuan terbaik dan dedikasi yang sabar," katanya.
AEC berfungsi sebagai platform untuk mengiktiraf pencapaian guru dan pendidik yang cemerlang atas sumbangan mereka kepada kemajuan pendidikan di Asia dan di peringkat global. - BERNAMA