KOTA BHARU:Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi atas lima pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap remaja lelaki bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Khairi Hassan, 53 tahun, bagaimanapun tidak mengaku bersalah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp dengan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dengan menawarkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC berwarna merah sebagai dorongan dengan niat untuk melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kesalahan berkenaan berlaku di Kampung Pauh Butut, Peringat pada 13 Januari lepas.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan jenayah seksual terhadap mangsa yang sama di sebuah bilik hotel pada jam 3 petang, 29 Januari lalu.


Jenayah Seksual | Guru hadapi lima pertuduhan

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama dan Seksyen 14(d) juga akta sama.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh didakwa melakukan jenayah seksual terhadap mangsa yang sama dalam kejadian yang dilakukan pada 13 dan 14 Januari antara jam 9.22 dan 10.31 pagi di Kampung Pauh Butut di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15(f) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya Hajarul Falenna Itah Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nuri Abdul Rahman.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membenarkan tertuduh diikat jamin 30,000 dengan seorang penjamin dan meminta tertuduh melaporkan diri di balai polis setiap 1 hari bulan.

Mahkamah menetapkan 11 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.