Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, penggunaan teknologi yang serba moden dan terancang mampu meningkatkan hasil tanaman yang diusahakan oleh sesebuah negara.
“Banyak kali saya katakan, kita mesti kembali kepada pertanian moden. Sebagai contoh, negara yang menggunakan teknologi moden dalam pertanian ialah Belanda, dan negara itu telah berjaya menjadi pengeksport makanan terbesar dunia.
“Malah, dengan penggunaan teknologi juga kita mampu mengurangkan tenaga pekerja asing yang sekali gus turut mengurangkan kos sesebuah perusahaan pertanian itu. Kita boleh meningkatkan kualiti tanaman dan produktiviti pertanian,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Astro AWANI.
Beliau juga berkata, MARDI telah menjalankan banyak kajian, namun ia masih belum dikomersialkan.
“Saya sudah berjalan satu Malaysia, kalau nanas, kita memang nombor satu. Pisang dan buah tin juga kita boleh usahakan.
"Kita memang boleh lakukannya cuma kita perlu galakkan lagi untuk para petani meneroka dan meluaskan perusahaan mereka," katanya.
BACA: Ringgit jatuh antaranya disebabkan menteri tidak bijak berkomunikasi - Daim
Namun, tambah Daim lagi, dalam merealisasikan pertanian sebagai industri strategik, segala sumber semulajadi perlu dipilihkan.
“Ia adalah perkara yang penting. Sekarang ini di Kedah dan Selangor, kita kekurangan sumber air dan kalau musim kemarau, kita akan menghadapi kesukaran.
"Kita nak minum pun tak cukup air, jadi kita kena jaga sumber-sumber ini. Air adalah sumber yang paling mustahak dan kita perlu rancang sebaik mungkin," katanya.
Rancangan Perspektif Tun Daim ini akan disiarkan malam ini (Rabu malam) di Astro AWANI pukul 9 malam.