Netizen Malaysia memang sentiasa menunggu peluang dan bersedia untuk mengkritik sesuatu, dalam pelbagai situasi.

Terbaru adalah melibatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sdan keluarganya yang didakwa menggunakan pesawat jet milik kerajaan.

Dalam gambar yang tular di media sosial, Wan Azizah dilihat bersama Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua anak perempuannya, Nurul Hana dan Nurul Iman dalam pesawat tersebut.





Bagaimanapun, ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar hari ini mengesahkan kunjungan ke Istana Kelantan malam tadi merupakan jemputan rasmi untuk mereka sekeluarga.

“Itu merupakan jemputan rasmi Istana yang menjemput Wan Azizah sekeluarga.

“Sikap pimpinan lama tidak akan berulang, menggunakan jet untuk bercuti dan keperluan peribadi,” jelasnya di akaun Twitter hari ini.


BACA: Anwar, Wan Azizah buat kunjungan ke Istana Kelantan

Dalam pada itu, Wan Azizah sekeluarga melakukan kunjungan hormat mengadap Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra, bonda dan ayahanda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Anis Tengku Hamid dan Sultan Ismail Petra Ibni Al Marhum Sultan di Istana Mahkota.