KANGAR: Beberapa kawasan rekreasi di Taman Eko Rimba Bukit Ayer dan Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam ditutup sementara bermula hari ini, berikutan arus deras akibat hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Pengarah Perhutanan Perlis Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata penutupan sehingga dimaklumkan kelak itu dilakukan bagi menjaga keselamatan pengunjung ke kawasan berkenaan.

"Di Gua Kelam, kita terpaksa menutup sementara Jambatan Gantung Gua Kelam 1 dan Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam.

"Bagaimanapun, aktiviti lain di Galeri Gua Kelam, rumah cermin dan eksplorasi Gua Kelam 2 dibuka seperti biasa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ag Shaffie berkata di Bukit Ayer pula, pihaknya menutup sementara aktiviti rekreasi air di Taman Eko Rimba Bukit Ayer dan Kompleks Sungai Batu Pahat.

Bagaimanapun, beliau berkata Kolam Renang Bukit Ayer dan Taman Rimba Herba Perlis masih dibuka seperti biasa.

Mengikut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan dan rebut petir di satu dua tempat di Perlis dijangka berlarutan sehingga Ahad (20 Ogos).

-- BERNAMA