Penganjuran acara ini bertujuan meraikan budaya makanan jalanan Malaysia yang pelbagai sambil menyokong penjaja tempatan.
Inisiatif ini mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang penuh dengan kepelbagaian kulinari, di mana setiap hidangan menceritakan kisah tradisi, budaya dan cinta terhadap hidangan tersebut.
Hidangan yang ditawarkan mempunyai gabungan harmoni pelbagai rasa daripada semua kaum, menciptakan pengalaman yang lazat untuk semua yang menikmati.
Hidangan popular seperti nasi lemak, roti canai dan sate serta banyak lagi hidangan tempatan istimewa, menjadikan Malaysia sebagai syurga bagi penggemar makanan.
Menurut Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, “Gastro Diplomacy” atau diplomasi makanan merupakan salah satu tarikan utama untuk para pelancong antarabangsa.
Malaysia menerima 20 juta pelancong pada tahun lalu dan merupakan destinasi utama di kalangan pelancong ASEAN, di mana ramai daripada mereka menyatakan bahawa makanan adalah salah satu sebab utama kunjungan mereka ke Malaysia.
Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga baru-baru ini mengiktiraf Kuching sebagai salah satu Bandar Gastronomi Kreatif, yang menonjolkan kekayaan dan kepelbagaian budaya makanan di Malaysia.
Malaysia juga mempunyai 50 restoran yang diiktiraf oleh Michelin di seluruh negara.
Food Hawker Awards 2024 bertujuan meraikan dan mengangkat industri makanan tempatan dengan pengumpulan undian daripada orang ramai bagi penjaja makanan kegemaran mereka.
Pemenang anugerah ini akan ditentukan melalui undian awam, di mana setiap pengundi hanya boleh mengundi satu penjaja sahaja bagi setiap negeri yang terlibat.
Kempen ini berlangsung dari 1 Julai 2024 hingga 31 Disember 2024 dan para pemenang akan diraikan dalam satu majlis anugerah pada Januari 2025.
Anugerah ini terbuka kepada semua peniaga makanan dan minuman yang beroperasi sebagai ‘penjaja’ - termasuklah gerai tepi jalan, gerai makanan pasar, kedai kopi tradisional, dan trak makanan di seluruh negara.
Untuk menyertai, penjaja mestilah sama ada peniaga Maybank QRPayBiz sedia ada atau daftar akaun Maybank QRPayBiz, dengan minimum 200 transaksi MAE QRPay sepanjang tempoh kempen.
Peniaga yang mengambil bahagian akan disenaraikan di laman web Foodie Asia untuk diundi oleh rakyat Malaysia. Semua peserta juga akan menerima pelekat "Featured on Foodie Hawker Awards 2024" untuk dipamerkan di gerai mereka.
Peniaga terpilih juga berpeluang mendapat publisiti percuma di media sosial Foodie Asia dan Maybank serta dalam sebarang kempen promosi ad-hoc yang dijalankan oleh MAE oleh Maybank2u.
Dari 15 September hingga 31 Disember tahun ini, pelanggan yang berbelanja minimum RM8 dengan Scan & Pay di aplikasi MAE di gerai yang dipaparkan dalam Foodie Hawker juga akan mendapat diskaun RM2 dengan menggunakan kod promo "MAEFHA2".
Menurut pengasas dan Ketua Pengawai Eksekutif Good Foodie Media, Nicholas Lim Pinn Yang, Foodie Hawker Awards akan menjadi komitmen jangka panjang untuk memperkasa industri makanan tempatan yang meriah di Malaysia.
"Kami telah membantu peniaga perusahaan kecil dan sederhan (PKS) dan penjaja untuk mempromosikan perniagaan mereka dalam talian dan anugerah pengiktirafan adalah sesuatu yang saya ingin lakukan untuk industri F&B di Malaysia.
"Ia akan menjadi anugerah untuk rakyat Malaysia, dari rakyat Malaysia," tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, Maybank sentiasa aktif membantu penjaja tempatan dan perniagaan kecil berkembang melalui pelbagai inisiatif, seperti platform dalam talian tanpa komisen, Sama-Sama Lokal.
"Melalui pemerkasaan penjaja kami dengan QRPay di aplikasi MAE, kami mencipta ekosistem pembayaran tanpa tunai yang lancar yang akan membantu mengembangkan pangkalan pelanggan mereka.
“Sehingga hari ini, kira-kira 750,000 peniaga Malaysia menawarkan pembayaran tanpa tunai dengan QRPayBiz Maybank, di mana hampir separuh adalah PKS mikro. Kolaborasi ini juga akan diadaptasi dengan ciri rentas sempadan untuk pelancong dari Thailand, Singapura, China dan Indonesia.
“Dengan berjuta pelawat setiap tahun dari negara-negara ini, QRPay akan menjadi pengubah permainan kewangan, untuk menyokong PKS mikro dan memacu transformasi digital," tambah Taufik.
Good Foodie Media merupakan sebuah syarikat media digital berfokuskan gaya hidup di Asia Tenggara dengan 17 jenama di lima negara ASEAN yang menawarkan penyelesaian teknologi untuk F&B.