KUALA LUMPUR: Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu melantik wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai Ahli Lembaga Pengarah dalam usaha menambah nilai kepada ketelusan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah tersebut bertujuan membolehkan suara pekerja diambil kira dalam semua keputusan yang dibuat oleh lembaga pengarah.

“Menjadi harapan kerajaan supaya wakil pekerja berkenaan turut memainkan peranan dalam urusan pentadbiran nanti.

“Golongan pekerja seharusnya sama-sama menjaga kestabilan, perpaduan dan hubungan industri bukan hanya dalam kalangan pekerja tetapi juga kerajaan dan majikan bagi kejayaan proses pembangunan negara,” katanya, di sini, pada Sabtu.

Perdana Menteri berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kali ke-42 di Auditorium Balai Ungku Aziz, Universiti Malaya (UM), di sini.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Timbalan Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata golongan pekerja adalah tunjang kepada pembangunan negara dan keperluan mereka sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan.
           
Kepentingan kaum pekerja dan negara juga, tambah Perdana Menteri, perlu diselaraskan dan semua sikap tidak bertanggungjawab dikikis.

Ini kerana, ujar beliau ia bukan sahaja menjejaskan kepentingan kaum pekerja, malah turut mengganggu sistem masyarakat dan menghalang usaha mencapai perhubungan industri yang harmoni.

“Saya berterima kasih kepada anda semua selaku golongan pekerja yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan negara bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Saranan saya, kekalkanlah hubungan baik antara kesatuan sekerja, majikan dan kerajaan agar dapat terus memacu kemajuan demi kemakmuran negara,” kata Ismail Sabri.

Terdahulu, perdana menteri dalam ucapannya berkata kerajaan bersetuju menyediakan geran tahunan RM4 juta kepada MTUC untuk melaksanakan program-program kesedaran dan latihan yang signifikan.