KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 10 lagi laporan yang dibuat oleh individu yang dipercayai pernah menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa melibatkan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ⁠mangsa-mangsa yang terlibat berumur dalam lingkungan 14 sehingga 20-an pada tarikh kejadian.

"Lokasi kejadian berlaku di Miri (Sarawak), Rawang (Selangor) dan Alor Setar (Kedah).

"Tarikh kejadian berlaku dari tahun 2013 hingga 2024," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 21 September lalu, Razarudin berkata seramai 200 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISB termasuk pemimpin utama sudah ditahan polis menerusi Op Global dijalankan PDRM.
 
Ia termasuk 14 individu bersama 17 orang memegang jawatan di organisasi berkenaan yang ditahan sekitar Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah (sempadan Malaysia-Thailand), sejak Rabu lalu.

Razarudin turut meminta individu pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes itu tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membolehkan siasatan dilengkapkan secara tuntas serta menyeluruh.