Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pembekuan itu dilaksanakan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001.
Selain itu beliau berkata, PDRM juga telah memperoleh maklumat berkaitan 23 harta milik GISB di 10 negara lain dengan anggaran nilai RM52.4 juta.
“Namun begitu, PDRM masih menunggu pengesahan harta tersebut dari negara yang terlibat bagi tindakan lanjut pembekuan dan penyitaan di bawah Akta 613,” katanya dalam sidang media di ibu negara, pada Khamis.
Mengenai aktiviti GISB di luar negara yang dipercayai di 19 buah negara keseluruhan, Mohd Shuhaily berkata, PDRM telah mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dan polis negara terbabit.
Setakat ini, katanya lagi, 19 negara tersebut berada di rantau Asia Tenggara, Eropah dan Asia Barat, dan tiga premis di sebuah negara sudah sudah dihentikan operasi, serta pintu dan tingkapnya ditutup dengan plastik hitam.
“Signage (papan tanda) pun dah dibawa turun, malah tingkap pintu dah ditutup dengan plastik hitam. Itu satu daripada maklum balas kita terima, GISBH yang beroperasi di satu negara telah berhenti beroperasi.
“Namun demikian, kita belum dapat maklumat berkaitan dengan ahli-ahli mereka di negara tersebut. Itu adalah tugasan seterusnyam dan siasatan sedang kita susun,” katanya lagi.