KUALA LUMPUR: Kumpulan perniagaan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) menafikan dakwaan mereka mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.

Dalam satu kenyataan, GISBH menegaskan pihak mereka tidak akan berkompromi dengan aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kanak-kanak.

GISBH berkata, mereka sentiasa mematuhi undang-undang dan mendukung aspirasi kerajaan dalam membangunkan negara.

GISBH sebelum ini menyatakan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung tuduhan jenayah dan ajaran sesat yang dikaitkan dengan syarikat itu.

Terdahulu pada Rabu, media melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Dalam Op Global dijalankan antara jam 6-11 pagi hari ini, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.