KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati modus operandi yang dilakukan di 20 rumah awal kendalian Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat kanak-kanak yang lain. 

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mangsa-mangsa ini daripada risikan dan statement (kenyataan) yang kita dapat mangsa-mangsa ini diajar, dididik meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak yang lain juga.

"Ini daripada risikan dan percakapan yang telah kita rakam dari awalnya. Yang keduanya mangsa-mangsa yang tidak sihat tidak dibenarkan mendapat rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal.

Menurut beliau, mangsa kanak-kanak dan juga sentimen agama digunakan untuk menagih simpati untuk mendapat sumbangan daripada luar.

Selain dari itu, Razarudin turut mengesahkan penggunaan objek panas sebagai tanda hukum ke atas anak-anak jagaan di pusat amal di bawah GISB. 

"Menggunakan objek yang dipanaskan bagi mencederakan mangsa sebagai tanda menghukum atas kesilapan yang dilakukan. Selain itu menyentuh tubuh mangsa dengan alasan melakukan rawatan secara perubatan Islam," katanya dalam sidang media 'Op Global' di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di Kuantan, hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan 'Op Global' membabitkan kekuatan 705 pegawai dan anggota polis.

Operasi itu turut dibantu 287 individu iaitu rakan strategik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kimia Malaysia bagi membanteras kegiatan jenayah itu.

Razarudin berkata, setakat ini lapan kertas siasatan telah dibuka dan menjurus kepada kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792]; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa