KUALA LUMPUR: Hari ini, bumi terletak tepat antara matahari dan bulan sehingga bayang bumi menutupi bulan, yang mencetuskan fenomena gerhana bulan separa.

Menariknya, gerhana bulan yang dijangka berlaku selama tiga jam dan 28 minit itu disifatkan gerhana bulan paling lama dalam tempoh 580 tahun.

Laporan portal Independent yang memetik Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) memaklumkan, gerhana bulan penuh yang paling lama berlaku sebelum ini adalah pada 2018, iaitu selama satu jam 42 minit dan 57 saat.

Kebiasaannya, gerhana hanya berlangsung kurang dari dua jam, maka fenomena alam yang bakal berlaku pada kali ini disifatkan gerhana bulan paling lama bagi abad ini.

Juga dianggarkan sebanyak 288 fenomena gerhana bulan dijangka berlaku antara 2001 hingga 2100.

Apa di sebalik gerhana bulan separa kali ini? Ini 10 perkara yang anda perlu tahu.
  1. Ini merupakan gerhana bulan separa paling lama sejak 1440. Gerhana bulan separa kali ini juga dikenali sebagai blood moon.
     
  2. Blood moon adalah gelaran diberikan untuk fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku ketika posisi Bumi terletak tepat antara matahari dan bulan sehingga bayang bumi menutupi bulan.
     
  3. Ini bermaksud, gerhana bulan kali ini akan menjadi blood moon separa dengan warna kemerahan dapat dilihat pada permukaan bulan. Dianggarkan hampir 99.1 peratus bulan akan terlindung dari Bumi. 
     
  4. Keseluruhan proses itu kemudiannya menjadi terbalik apabila bulan meluncur keluar dari bayang-bayang dan meneruskan perjalanannya yang tidak berkesudahan mengelilingi planet. 
     
  5. Fenomena merah itu dikenali sebagai 'Penyebaran Rayleigh', di mana gelombang cahaya biru yang lebih pendek dari matahari diserakkan oleh zarah di atmosfera bumi. 
     
  6. Gelombang cahaya merah yang lebih panjang dapat melalui zarah berkenaan dengan mudah. 
     
  7. Menurut saintis angkasa lepas, pemerhati langit di bahagian itu akan menikmati pemandangan bebas awan, bulan sedikit malap mulai jam 0602 GMT (sekitar jam 2 petang waktu Malaysia) hari ini ketika ia memasuki penumbra bumi iaitu bayang luar. 
     
  8. Keajaiban itu dapat disaksikan di seluruh Amerika Utara, sebahagian Amerika Selatan, Polynesia, Australia dan timur laut Asia. 
     
  9. Sesiapa yang ingin menyaksikan gerhana bulan ini tidak memerlukan peralatan khas kerana teropong, teleskop atau mata kasar sudah cukup selagi cuaca dalam keadaan baik. 
     
  10. Satu lagi fenomena seumpamanya iaitu gerhana bulan penuh yang lebih lama, dijangka berlaku pada 8 November 2022.