SUNGAI PETANI: Tindakan orang awam merakam tindakan mencurigakan dua orang lelaki memasuki rumah dan melarikan sebuah kereta milik jirannya membawa kepada penangkapan ahli kumpulan ‘Geng Ah Boon’ yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di Taman Setia Jaya di sini pada 27 Ogos lalu.


Ringkasan AI
  • Tindakan orang awam merakam video mencurigakan membawa kepada penangkapan empat ahli kumpulan Geng Ah Boon yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di Taman Setia Jaya.
  • Polis berjaya merampas pelbagai barangan termasuk kereta dengan nombor pendaftaran palsu, telefon bimbit, alatan pecah rumah, jam tangan, kamera CCTV, dan barangan lain yang dipercayai hasil kegiatan jenayah.
  • Kumpulan ini menyamar sebagai kakitangan TNB untuk memasuki rumah mangsa dan mempunyai rekod jenayah serta dadah yang banyak. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, susulan rakaman video yang diterima, polis telah melancarkan Op Pintu/Lejang dan berjaya mengesan serta menahan suspek dalam tempoh lima jam pada hari yang sama.

"Berdasarkan video berkenaan, polis berjaya mengesan dua suspek berusia 29 dan 33 tahun dan menahan mereka dalam tempoh lima jam menerusi serbuan yang dilakukan di daerah ini.

"Susulan itu, polis turut berjaya mengesan dan menahan dua lagi suspek berusia 45 dan 44 tahun pada 29 Ogos dan 1 September lalu.

"Menerusi tangkapan itu, polis berjaya merampas pelbagai barangan termasuk sebuah kereta Honda Accord dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu, enam buah telefon bimbit, 51 alatan pecah rumah, 27 utas jam tangan pelbagai jenama, dua buah kamera rakaman video tertutup (CCTV), dan tiga kunci kereta.

“Sebuah komputer riba, lima buah beg tangan, sebuah teropong, 14 produk kesihatan, wang tunai RM1,811, empat gelang tangan emas, enam botol minyak wangi dan banyak lagi turut dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, pada Khamis.



Wan Azharuddin berkata, polis turut merampas dua ves berwarna jingga tertera Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dipercayai digunakan untuk menyamar sebagai kakitangan syarikat utiliti berkenaan untuk masuk ke rumah mangsa.

Beliau berkata, hasil soal siasat yang dilakukan, polis berjaya merampas sebuah kereta Perodua Myvi yang dilaporkan hilang dalam kejadian pecah rumah di Taman Setia Jaya pada hari berkenaan.

"Hasil ujian saringan awal urin yang dilakukan terhadap dua suspek itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek pertama mempunyai lapan rekod jenayah dan tiga rekod dadah manakala suspek kedua iaitu dalang kumpulan itu yang berusia 33 tahun mempunyai 21 rekod jenayah dan enam rekod dadah.

“Berikutan itu, kedua-dua suspek direman sembilan hari bermula 28 Ogos hingga hari ini,” katanya.



Wan Azharuddin berkata, hasil serbuan dan tangkapan itu berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah dan pejabat serta satu kes curi kenderaan di daerah ini dan ia tidak termasuk kes sama yang dilakukan mereka masing-masing di Seberang Perai, Pulau Pinang dan Taiping, Perak.

Beliau berkata, modus operandi yang dilakukan geng ini adalah dengan melakukan kegiatan pecah rumah pada waktu siang dan malam ketika pemilik rumah tiada di rumah.

Katanya, hasil siasatan yang dilakukan, dua lagi suspek berusia 44 dan 45 tahun ditahan pada 29 Ogos dan 1 September lalu.

"Geng ini dianggotai lima orang dan empat daripadanya berjaya ditahan manakala seorang lagi masih bebas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.