NURDAGI: Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah berjaya menemukan seramai 50 mangsa tragedi tanah runtuh di Turkiye setakat Selasa.

Menurut Komander SMART, Mohd Khairul Jamil, angka itu membabitkan lima mangsa yang masih hidup manakala selebihnya merupakan mangsa yang telah meninggal dunia.

“Kesemua pasukan masih dalam keadaan yang baik termasuk keadaan moral mereka yang sentiasa komited dan kekal bersemangat dalam melaksanakan misi SAR.

"Kita telah buka dan teruskan lagi misi pencarian melibatkan tiga kawasan dengan menggerakkan lebih kurang 46 anggota untuk ditempatkan di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Khairul menyatakan misi SAR berjalan dengan sangat baik berikutan kerjasama yang amat memberangsangkan oleh semua pihak termasuk agensi dari negara luar.

Malah, pasukan SMART juga memperoleh layanan yang sangat positif daripada semua pihak termasuk aspek kebajikan dan keperluan makanan.

“Kehadiran pasukan kami sejak dari hari pertama lagi mereka sudah pamerkan keterujaan untuk bekerjasama dengan kami.

“Mereka juga tidak putus menyalurkan bekalan makanan dan kelengkapan asas seperti selimut untuk kita berdepan dengan keadaan cuaca sejuk yang agak ekstrem.

“Cabaran kita memang cuaca kerana perbezaan iklim sehingga mencecah -12 darjah Celcius di bawah paras beku pada waktu malam,” ujarnya.

Selain ittu, pihaknya juga menetapkan tempoh maksimum bagi misi SAR adalah sehingga jam 5 petang waktu tempatan sebelum kembali ke pangkalan.

Pasukan SMART yang terdiri daripada pelbagai agensi kini berpangkalan di Stadium Nurdagi dan menyertai misi SAR secara berjadual sepanjang tempoh penugasan.

Secara keseluruhan, seramai 140 anggota ditugaskan bagi misi ini meliputi pelbagai agensi kerajaan yang bergerak secara berperingkat.

Setakat ini, angka korban bagi bencana gempa bumi di Turkiye telah meragut lebih 30,000 nyawa sementara ribuan lagi mangsa lain yang cedera.

Sejarah hitam yang berlaku di Turkiye ini merupakan rekod terburuk berlaku sejak kali terakhirnya tercetus pada 20 tahun lalu.


*Wartawan penyiaran Astro AWANI, Hilmi Malik berada di Gaziantep, Turkiye untuk misi kemanusiaan bersama NGO, Global Peace Mission