KUALA LUMPUR: Kerajaan menyuarakan kesediaan untuk menghantar pasukan perubatan serta membina hospital medan di Turkiye, sekiranya negara itu memerlukannya.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, perkara itu dimaklumkan Kedutaan Turkiye dalam pertemuan bersama Menteri Luar pada Isnin.

"Semalam, sewaktu kita menghantar 70 dari Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan agensi lain, (selepas itu) kita terus adakan perbincangan dengan Kedutaan Turkiye, saya bersama Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan mereka memaklumkan nasihat daripada Kerajaan Turkiye.

"Ketika ini bantuan diperlukan ialah pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan Kerajaan Turkiye memaklumkan ada kemungkinan besar bantuan Emergency Medical Team (EMT) termasuk keperluan membina  hospital medan di kawasan terlibat diperlukan,

"Namun mereka tengah mendapatkan maklumat lanjut daripada Pusat Pengurusan Bencana, pada petang ini mereka akan memaklumkan dalam mesyuarat Koordinasi diantara NADMA, Wisma Putra dan juga Kedutaan Turkiye di Kuala Lumpur," jelasnya.


BACA SEMUA BERHUBUNG GEMPA BUMI TURKIYE


Tambah Armizan, selain daripada bantuan kerajaan, turut bersedia memberi bantuan keperluan lain daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

"Kita juga bangkitkan bersama kita ada beberapa NGO datang ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) mendapatkan maklumat mereka ingin membantu ada pasukan perubatan, bantuan makanan, keperluan lain blanket dan sebagainya.

"Apa yang difahamkan pihak kedutaan peringkat ini mereka masih belum mendapat arahan daripada Kerajaan Turkiye," katanya lagi.

Terdahulu, 75 pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye kira-kira jam 6.00 pagi Selasa waktu tempatan.

Terbaharu, angka kematian meningkat lebih 5,000 orang susulan gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter melanda Kahramanmaras dan menjejaskan beberapa wilayah termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay, dan Kilis, pada awal Isnin.