Anwar Ibrahim berkata, Malaysia turut berdiri teguh bersama kerajaan dan rakyat China dalam menghadapi bencana tragis ini.
"Takziah yang mendalam saya sampaikan kepada semua mangsa yang terkesan oleh gempa bumi ini.. doa dan ingatan kami bersama mangsa, keluarga mereka serta komuniti yang kini berdepan dengan kehilangan dan kemusnahan.
"Semoga mereka diberi kekuatan, keberanian dan sokongan untuk menghadapi serta pulih daripada waktu sukar ini," beliau berkata demikian menerusi sebuah kenyataan ringkas di Facebook pada Selasa.
Pada masa sama, Anwar turut menitipkan doa kepada negara Nepal yang turut merasai gegaran gempa kuat itu.
"Doa dan solidariti kami turut bersama Nepal, yang turut merasai gegaran kuat akibat gempa bumi ini, ketika kedua-dua negara berusaha mengharungi cabaran untuk membina semula dan memulihkan keadaan selepas bencana ini," tambahya.
Pada Selasa, sebuah gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda kawasan terpencil di Tibet, China dan mengorbankan sekurang-kurangnya 95 orang manakala 130 tercedera.
Menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC), walaupun gempa bumi biasa berlaku di rantau itu, gempa kali ini adalah paling kuat direkodkan dalam radius 200 kilometer sejak tempoh lima tahun lalu.
Pihak berkuasa China mendakwa gegaran juga dirasai hingga ke Nepal, Bhutan dan India.
Pusat gempa dilaporkan terletak di Tingri, sebuah daerah luar bandar di China yang dikenali sebagai pintu masuk utara ke kawasan Everest, pada kedalaman 10 kilometer.
Ketua Daerah Dingri dilaporkan berkata, pihak berkuasa tempatan kini berusaha menghubungi beberapa perbandaran dalam daerah itu untuk menilai kesan gempa berkenaan.
Selain itu, Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula melaporkan gempa terbabit pada kekuatan 7.1 magnitud.
Dalam masa sama, puluhan gempa susulan pada kekuatan 4.4 magnitud dilaporkan berlaku sejurus gegaran kuat tersebut.