Pemantauan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar pada jam 11.30 malam tadi mendapati, air laut sudah memasuki kawasan pasar di Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mind Zain berkata, pihaknya siap sedia bagi menjalankan operasi sekiranya menerima panggilan menyelamatkan penduduk terperangkap banjir.
"Setakat ini kita sudah memberi arahan kepada anggota beberapa BBP di lokasi yang dikenal pasti akan berlaku air pasang besar untuk sentiasa melakukan pemantauan di kawasan pantai dan sungai.
"Di Kuala Kedah, kita meletakkan anggota dari BBP Alor Setar dan Jalan Raja untuk melakukan pemantauan manakala BBP Yan, Guar Chempedak dan Sungai Petani pula bersedia melakukan pemantauan di kawasan Yan dan Pantai Murni.
"BBP Tikam Batu dan Kulim pula diletakkan untuk pemantauan di kawasan Kuala Muda," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Fenomena air pasang besar setinggi 3.1 meter dijangka berlaku antara 4 hingga 7 November ini.

BACA: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat
BACA: Bomba selamatkan kanak-kanak 12 tahun terperangkap di tengah sungai
BACA: Banjir Kedah: Fenomena air pasang akibatkan banjir semakin buruk
