ALOR SETAR: Kejayaan gelembung pelancongan di Langkawi memberi indikasi bahawa sektor pelancongan di Kedah akan sentiasa mendapat perhatian pelancong, walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Firdaus Ahmad berkata kerajaan negeri sangat memandang serius soal pematuhan SOP, selain memastikan semua pemain industri pelancongan menambah baik perkhidmatan mereka.

Beliau berkata semua pihak terutama yang terlibat dalam sektor pelancongan di negeri itu juga perlu bersedia untuk menerima kehadiran pelancong apabila pintu pelancongan dibuka sepenuhnya tidak lama lagi.

"Kerajaan negeri dengan kerjasama Kedah Tourism telah hampir setahun merangka dan merancang strategi bagi menyediakan sektor pelancongan untuk dibuka semula," katanya dalam sesi penggulungan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Katanya perbincangan bersama pemain industri dilakukan secara konsisten bagi mencari kaedah yang berkesan dan tuntas untuk pelaksanaan gelembung pelancongan dan kerajaan negeri bersedia menerima idea serta cadangan bernas daripada mana-mana pihak untuk penambahbaikan sektor itu.

Sementara itu, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor dalam sidang media selepas sidang DUN berkata program rintis gelembung pelancongan itu diharap berjaya mencapai matlamatnya untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan di Langkawi.

"Alhamdulillah pada masa ini tiada berlaku jangkitan (COVID-19) kerana itulah kebimbangan orang ramai, sama ada bawa masuk jangkitan atau bawa keluar, sehingga hari ini dah masuk seminggu belum ada laporan kecuali kes penularan tempatan di lokasi yang telah dikenal pasti, yang bersabit dengan pelancong keluar masuk (ke Langkawi) belum ada laporan.

"Saya amat bersyukur dengan keadaan ini dan berdoa agar gelembung pelancongan ini akan dapat mencapai matlamatnya untuk mengembalikan kerancakan sektor pelancongan di negeri ini," katanya.

Katanya kerajaan negeri juga sangat menghargai khidmat semua petugas barisan hadapan termasuk Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, yang bekerjasama memastikan kejayaan projek rintis itu.

-- BERNAMA