KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung penulisan kolumnis Andrew Sia yang mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengamalkan sistem aparteid telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), semalam.


Ringkasan AI
  • Kertas siasatan berhubung penulisan kolumnis Andrew Sia yang mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengamalkan sistem aparteid telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).
  • Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya telah selesai mengambil keterangan Sia dan polis juga sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.
  • Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana penghinaan yang disengajakan untuk mencetus pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana penggunaan kata-kata yang menghina.


Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya telah selesai mengambil keterangan Sia dan polis juga sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

"Keterangan Andrew Sia telah diambil...kertas siasatan telah lengkap dan kita masih menunggu arahan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jumaat lepas, Razarudin dilaporkan berkata sebanyak 63 laporan polis diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain merakam percakapan 65 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata ia membabitkan 63 individu yang membuat laporan di seluruh negara serta dua individu daripada portal berita tempatan.

Pada 24 Mei lepas media melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan terhadap kolumnis sebuah portal berita dalam talian itu berhubung artikel bertajuk Our Apartheid Academy, UiTM yang diterbitkan pada 22 Mei lepas.

Laporan polis pertama dibuat oleh ketua penerangan sebuah parti politik di Balai Polis Dang Wangi baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh sebelum ini menuntut portal terbabit untuk menurunkan artikel itu dan menggesa Sia mengeluarkan permohonan maaf.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana penghinaan yang disengajakan untuk mencetus pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana penggunaan kata-kata yang menghina.

-- BERNAMA