Mercy Malaysia berjaya menghantar bekalan perubatan termasuk antibiotik dan cecair intravena untuk mereka yang cedera dan pesakit trauma ke semenanjung Gaza menerusi pintu sempadan Rafah.

“Ubat-ubatan banyak yang sudah habis jadi kami mengambil masa satu minggu untuk membeli segala ubat-ubatan untuk di bawa ke Gaza,” kata ahli majlis eksekutif Mercy dan ketua pasukan Norazam Abu Samah yang kini berada di Kaherah ketika dihubungi Astro AWANI.

Bekalan diperolehi daripada pembekal perubatan di Kaherah dan dimuatkan ke dalam trak yang kemudiannya berkonvoi (16 trak) bersama bantuan lain daripada pelbagai organisasi.

“Sebenarnya suasa di Sinai, Kaherah pun tidak stabil kerana mempunyai ramai ahli militan. Tiada jaminan bahawa bekalan yang dibawa akan sampai dengan selamat.

“Alhamdulillah, ia berjaya sampai ke Rafah namun cabaran di situ pula adalah kita harus menanti lama di sempadan Rafah,” katanya.

Mercy
Foto Mercy Malaysia

Menurut keyataan pihak Mercy, bekalan sampai di pintu sempadan Rafah sekitar 12 tengah hari dan berjaya dipindahkan ke Gaza selepas rundingan selama beberapa jam. Keselamatan kekal ketat semasa proses tersebut di sempadan dan pihak berkuasa menghadkan sebarang rakaman gambar.

Semua bekalan diberi kepada pusat penyimpanan perubatan dan kemudian akan diedarkan di seluruh hospital di Gaza tetapi keutamaan akan diberikan kepada 3 hospital terbesar yang mengendalikan kebanyakan kes iaitu Hospital Al-Shifa di Semenanjung Gaza, European Hospital dan Hospital Nasser di Khan Younis.

Mercy
Foto Mercy Malaysia

“Wakil Mercy di Gaza akan melaporkan keadaan di tiga hospital utama ini dan akan memberitahu kami apa yang kurang dan apa yang diperlukan,” tambahnya.

Norazam dan pasukannya dijadual pulang ke Malaysia Ahad sebelum kembali ke Kaherah dalam masa dua minggu.

Konflik di Gaza sehingga kini telah meragut lebih 891 nyawa penduduk Palestin dengan kebanyakkannya adalah kanak-kanak dan kaum wanita. Pihak Palestin dan Israel pada Khamis telah melaksanakan gencatan senjata 12 jam di Gaza.