Setakat ini, dua kanak-kanak yang ditemui masih hidup sementara pada Rabu dan Khamis, dua rangka kanak-kanak ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Dalam sebuah kenyataan, Kit Siang berkata beliau telah mengarahkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari untuk membawa perkara itu di Parlimen apabila ia bersidang pada 19 Oktober.
Katanya, itu perlu bagi memastikan tragedi seumpamanya tidak berulang lagi kepada mana-mana pelajar-pelajar sekolah di negara ini.
Tambah Kit Siang, seluruh rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab dalam kes berkenaan.
GALERI FOTO: Misteri kehilangan murid Orang Asli SK Tohoi
“Rakyat Malaysia patut berasa terpukul apabila sikap tidak ambil peduli, tidak berperikemanusiaan, pengabaian dan ketidakcekapan boleh berlaku dalam keadaan semasa sekali gus mengakibatkan tragedi yang besar,” ujarnya dalam kenyataan itu.
Anggota pasukan pencari dan penyelamat menyelamatkan Miksudiari Aluj yang terselindung dibawah rongga di bawah akar pohon besar di tebing sungai. - Gambar fail
Kit Siang juga menyalahkan Kementerian Pendidikan yang sebelum ini menyatakan mahu membentuk jawatankuasa khas bagi menangani pelbagai aspek melibatkan Orang Asli yang tinggal di asrama.Katanya, maklum balas yang diterima adalah ‘sangat tidak wajar malah boleh ditertawakan’.
“Sepanjang tujuh minggu lalu murid-murid itu hilang, berapa kali Kabinet membincangkan kes itu, atau adakah Kabinet pernah membincangkannya langsung?” tanya Kit Siang.
BACA: Kronologi: Kehilangan tujuh murid Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang
Miksudiari Aluj ditemui masih hidup namun dalam keadaan sangat lemah selepas hilang selama lebih dari sebulan. - Gambar sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat
Kit Siang bagaimanapun memuji tindakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meluangkan masa melawat keluarga mangsa pada 28 September namun mempersoalkan menteri-menteri lain yang tidak menunjukkan muka, terutamanya menteri yang berkaitan dengan kes seumpamanya.Ahli Parlimen Gelang Patah itu secara khusus menamakan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yakob; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Kit Siang turut mendesak Perdan Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan penjelasam daripada menteri-menteri berkenaan.
“Jika mereka gagal memberikan penjelasan yang memuaskan kepada umum, mereka patut menerima akibatnya,” kata Kit Siang.
Pada 23 Ogos, tujuh murid Orang Asli SK Pos Tohoi dilaporkan hilang selepas tidak kembali ke asrama kerana bimbang dihukum kerana mandi di sungai berdekatan tanpa izin.
Dua daripada mereka iaitu Miksudiari Aluj, 11, dan Norieen Yaakob, 10, ditemui dalam keadaan lemah oleh anggota tentera pada Jumaat.