KOTA BHARU: Masalah gangguan bekalan air yang berlaku di Pasir Mas dan Tumpat sejak beberapa hari lepas semakin pulih berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Kelar, Pasir Mas sudah beroperasi seperti biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan Datuk Dr Izani Husin berkata ia berikutan hasil tindakan segera pihak berwajib menyelesaikan masalah tersebut.

"Daripada krisis kepada tindakan. Berpadu tenaga melawan masa. Loji Rawatan Air Kelar, Pasir Mas telah pulih seperti biasa. Tahniah semua," katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Pada Sabtu, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam kenyataannya memaklumkan sebanyak 48,635 pelanggan AKSB sekitar jajahan Pasir Mas dan Tumpat mengalami gangguan bekalan air sejak Sabtu lepas.

Gangguan bekalan air itu yang dijangka pulih sepenuhnya sebelum perayaan Aidilfitiri, berlaku akibat penurunan paras air yang kritikal di muka sauk LRA Kelar berikutan fenomena El Nino serta kerosakan dua unit pam disebabkan mendapan pasir dan sampah.


-- BERNAMA