Kerajaan negeri memandang serius pengumuman yang dibuat oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berkenaan gangguan bekalan air pada 17 sehingga 22 Disember ini.

Gangguan bekalan air itu bakal menjejaskan lebih satu juta pengguna di sekitar Lembah Kelang.

Menurut Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, akan mengadakan perjumpaan dengan Syabas pada Isnin ini bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai gangguan bekalan air tersebut.

“Kita akan adakan perjumpaan dengan Syabas untuk mengetahui maklumat berkenaan persedian yang telah mereka dilakukan, jangkaan bekalan pulih sepenuhnya dan kawasan-kawasan yang terlibat” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Khalid akan turut memanggil pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan-kawasan yang terlibat sebagai persediaan memandangkan Syabas tidak akan menyediakan lori tangki sepanjang gangguan bekalan air berlaku kecuali pengguna kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan rumah ibadat.

“Kita akan mengarahkan PBT supaya menyediakan lori-lori tangki untuk menghantar bekalan air ke kawasan yang terlibat sekiranya mendapat permintaan daripada pengguna di kawasan itu” kata Khalid lagi.

Gangguan bekalan ini berikutan penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) bagi melakukan kerja-kerja menaik taraf, pembaikan dan penukaran aset-aset utama di loji tersebut.