AMPANG: Lokasi tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati yang berlaku semalam antara 114 kawasan titik panas (hotspot) tanah runtuh yang telah dikenal pasti pihak berkuasa.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, terdapat 400 sehingga 600 kawasan hotspot di sepanjang kawasan batu kapur dari Hulu Klang hingga Batu Caves.

"Jika kita lihat kepada struktur tanah, kawasan ini terletak di atas batu kapur. Dari Hulu Klang ke Batu Caves, kawasan ini mempunyai kawasan batu kapur yang panjang dan apabila air mengalir melaluinya selama berbulan-bulan, risiko tanah runtuh lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan pihak berkuasa telah mengesan kawasan-kawasan yang berpotensi berlaku tanah runtuh ini dan sudah mengambil langkah berjaga-jaga.

"Kawasan berisiko tinggi ini ditanda dengan warna kuning, oren atau merah.

"Namun, kawasan yang paling kritikal di mana kejadian sering berulang berjumlah 114 dan ini hanya di kawasan Ampang Jaya sahaja. Sepanjang tahun lepas, terdapat juga kejadian tanah runtuh di Selayang dan Petaling Jaya," katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan penduduk terutamanya di kawasan pesisir pantai negeri Selangor untuk membuat persediaan menghadapi fenomena air pasang besar ataupun air pasang tinggi yang akan berlaku bermula 18 sehingga 20 Oktober ini.