GEORGE TOWN: Bersempena sambutan ulang tahun ke-30 Khazanah Nasional Berhad, Galeri Khazanah sekali lagi menganjurkan pameran seni mini dalam usahanya mengangkat martabat karya seni daripada pengkarya-pengkarya terkenal tanah air.

Pameran ini merupakan kesinambungan daripada pameran sulung Galeri Khazanah pada tahun 2022 dan pada kali ini, ia menampilkan sebanyak 46 karya seni oleh 31 pengkarya moden dan kontemporari daripada koleksi Khazanah dan membawa tema Mengembara Melalui Seni, Imaginasi dan Warisan Malaysia.

Pameran seni mini ini diadakan di Think City, Bangunan UAB, Gat Lebuh China George Town selama sebulan bermula 19 Julai hingga 17 Ogos ini.

Sarah Abu Bakar, selaku kurator adalah antara individu penting dalam merencana serta merealisasikan penganjuran pameran mini kali ini.

Ujarnya, penganjuran pameran ini mencerminkan  komitmen berterusan Khazanah Nasional Berhad dalam menyokong serta mempromosi artis dan pengkarya di Malaysia serta  usaha kreatif mereka.

Menurutnya, visi  penganjuran pameran Galeri Khazanah kali ini adalah  bagi mengangkat kisah-kisah naratif  mengenai Malaysia serta mewujudkan kesedaran dan penghargaan terhadap pemeliharaan budaya, seni dan warisan negara dalam misi Khazanah Memajukan Malaysia.

"Untuk pameran di sini, usaha kami adalah untuk menceritakan kisah-kisah Malaysia melalui karya-karya seni visual Malaysia yang terdapat dalam koleksi Khazanah. Jadi kami ingin menyebarkan pengetahuan  menceritakan tentang kisah-kisah artis-artis dan pengkarya  yang telah lama menghasilkan karya-karya seni yang cukup menarik.

"Tema-tema yang dipilih merangkumi tema-tema yang telah kami tonjolkan melalui pameran maya karya-karya ini di galeri.khazanah.com.my.

"Jadi, tema-tema tersebut merangkumi kisah-kisah naratif Malaysia kerana kami ingin mengetengahkan lagi dan menginspirasikan artis-artis muda untuk mengenali siapakah artis-artis moden dan juga senior yang sudah lama berkarya.

"Jadi melalui platform pameran maya  itu juga, peminat seni dan orang  ramai, yang bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia, dapat mengakses dan menghayati karya-karya seni tersebut," tambahnya lagi.

Bertepatan dengan negara yang akan menyambut hari Kemerdekaan tidak lama lagi, Sarah menegaskan kisah-kisah Malaysia harus diangkat bagi membangkitkan semangat cintakan negara dikalangan rakyat.

"Seni di Malaysia sangat  menarik kerana banyak inisiatif yang diadakan bukan sahaja  daripada  syarikat-syarikat ataupun institusi negara yang mengadakan pameran seperti ini tetapi juga pemilik  koleksi persendirian juga turut mengambil inisiatif sama seperti mengadakan  pameran mereka sendiri," jelas Sarah.

Mudzafar Abdullah Sanusi, wakil dari Galeri Khazanah sedang memberi penerangan kepada Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Balai Seni Negara, Shaik Rizal Sulaiman dan pengunjung mengenai salah satu lukisan yang terdapat pada pameran mini Galeri Khazanah.


Tidak hanya sekadar mempamerkan karya seni, Galeri Khazanah turut menghadirkan pengkarya-pengkarya seni tersohor untuk berkongsi pengalaman serta pengetahuan mereka menerusi bicara seni dan  bengkel seni yang diadakan secara percuma kepada pengunjung.

Para pengunjung berpeluang mendengar bicara seni serta bersoal jawab dengan karyawan kreatif  seperti Noor Mahnun Mohamed, Zakaria Ali, SC Shekar dan Soraya Yusof Talismail yang menceritakan kisah Malaysia melalui karya seni.

Komitmen berterusan Galeri Khazanah dalam memartabatkan karya seni berjaya melahirkan bakat-bakat muda terutamanya dibawah Program Residensi Rakan Artis Khazanah Nasional yang kini setanding artis dan pengkarya luar negara.

Bakat-bakat muda ini juga dapat meneruskan legasi seni tanah air dan mencipta nama dalam bidang seni seperti Latiff Mohidin dan Datuk Syed Ahmad Jamal, nama-nama yang tidak asing lagi buat pencinta seni di negara ini.

"Melalui program Residensi khazanah, ramai artis-artis muda yang telah mencipta nama mereka di dalam dan luar negara. Ini adalah satu pencapaian bukan sahaja untuk Khazanah tetapi untuk karyawan-karyawan ataupun artis-artis tersebut.

"Contohnya salah seorang daripada artis yang pernah ke London iaitu Haffendi Anuar. Beliau kini menetap di London dan sudah berkarya serta mempunyai arca seni sendiri di London. Jadi beliau telah membuka ruang kepada artis-artis Malaysia yang lain untuk terus berusaha dan bersaing dengan artis-artis luar.

"Bukan sahaja beliau, malah ramai lagi artis-artis Malaysia yang sudah mencipta nama mereka sendiri di luar negara sebagai contoh, artis-artis tersohor Malaysia seperti Pak Latiff Mohidin yang telah mempamerkan karya beliau di Paris pada tahun 2019, dan juga artis Pulau Pinang Wong Hoy Cheong sudah mengambil tempat di Koleksi Perbankan antarabangsa di Jerman dan sebagainya," jelasnya.

Menurut Sarah, menerusi inisiatif ini juga, pengkarya-pengkarya muda berpeluang menonjolkan hasil karya masing-masing termasuk menjualnya kepada orang ramai. 

"Selain mempamerkan karya-karya fizikal, kami juga mengambil kesempatan menyediakan platform kepada  artis-artis muda Program Residensi Khazanah untuk menjual karya-karya  mereka melalui katalog digital di mana orang ramai boleh melayarinya untuk mendapat lebih banyak maklumat mengenai karya-karya seni terbaru para pengkarya.

"Beberapa artis yang pernah melibatkan diri dalam program ini  sudah pun diberi pengiktirafan melalui galeri komersial. Mereka mendapat peluang  untuk menjual karya seni mereka di galeri di Kuala Lumpur," ujar Sarah lagi.

Selain memaparkan karya seni terpilih yang diperoleh sejak penubuhan Khazanah pada tahun 1994, pelbagai aktiviti dan program turut  diatur.

Antaranya, pengunjung boleh melakukan semak imbas paparan digital karya seni terkini alumni Program Residensi Rakan Artis Khazanah Nasional yang menampilkan karya seni oleh Ajim Juxta, Haffendi Anuar, Izat Arif, Joshua Kane Gomes, Mark Tan, Winnie Cheng, Yeoh Choo Kuan dan Zulkifli Lee.

Noor Mahnun Mohamed, antara artis yang berkongsi kisah perjalanan seninya serta lukisan-lukisan yang dihasilkan kepada pengunjung menerusi segmen "Bicara Seni" di pameran mini Galeri Khazanah.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang mengalami pengalaman realiti terimbuh yang dapat dilihat melalui kamera mudah alih seperti karya seni oleh Joshua Kane Gomes, Latiff Mohidin, Mat Anuar Ismail, Raja Shahriman Raja Azziddin dan Sabri Idrus.

Pada masa yang sama, bengkel seni kanak-kanak menerusi Siri Seni Muda memberi peluang kepada kanak-kanak dari semua peringkat umur menyertai aktiviti-aktiviti menarik seperti Bola Stres DIY, Lukisan Batik, Pembuatan Wayang Kulit dan Kraf Kitar Semula.

Noor Mahnun Mohamed atau lebih dikenali sebagai Anum merupakan antara nama penting yang memainkan peranan di persada seni Malaysia sebagai seorang pelukis, kurator, penulis dan pendidik.

Menerima sarjana dalam seni halus di Jerman, Anum pulang ke tanah air pada penghujung tahun 1997 dan memulakan kerjaya serba bolehnya di dalam bidang seni sebagai pereka grafik.

Dia mengagumi usaha Galeri Khazanah yang terus menyokong dan memberi peluang kepada para artis dan pengkarya mengetengahkan karya dihasilkan.

"Saya amat berbesar hati kerana Khazanah berhasrat untuk membeli karya seni dan bagi saya ia sentiasa memupuk dan menyokong artis (pelukis) dan apa yang kami perlukan sebagai artis adalah promosi mengenai koleksi," kata Noor Mahnun.

Malah, katanya kewujudan galeri seni maya juga antara ilham yang sangat bagus oleh Galeri Khazanah buat peminat-peminat karya seni mengakses secara maya dimana sahaja mereka berada.

"Ini adalah usaha yang sangat baik kerana saya fikir galeri seni maya memberi kemungkinan orang ramai yang tidak dapat melihat lukisan itu, mereka dapat melihat di galeri sebegini, kebiasaannya sukar  untuk orang ramai untuk melihat koleksi itu, kerana ia biasanya didalam bangunan yang mungkin susah untuk di akses," jelas Noor Mahnun.

Sebagai pengkarya berpengalaman luas, ini antara nasihat yang diberikan Anum khusus untuk bakat-bakat muda yang baru berjinak-jinak dalam dunia seni:

"Just do it (buat saja) saya fikir mesti ada keberanian dan kesungguhan untuk melakukan apa yang anda inginkan, usah peduli dengan pandangan orang, kerana pada akhirnya anda yang akan menentukan apa yang anda ingin, anda perlu mencipta dengan sendiri rangkaian seni ekosistem, galeri, kurator dan sebagainya sebelum anda menjadi artis," katanya.

Para pengunjung diberi penerangan oleh arkitek mengenai ciri unik restorasi dan konsep reka bentuk bangunan, di mana pameran mini Galeri Khazanah diadakan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Balai Seni Negara, Shaik Rizal Sulaiman antara penggiat karya seni yang tidak melepaskan peluang mengunjungi  pameran mini  anjuran Galeri Khazanah.

Beliau menyambut baik usaha daripada badan korporat seperti Khazanah Nasional Berhad itu dalam memartabatkan seni di negara ini.

"Saya rasa inisiatif yang diambil oleh Think City and Khazanah adalah sangat baik. Saya berharap lebih banyak tempat di seluruh Malaysia akan adakan galeri seni maya seperti ini dan di Balai Seni Negara, kami sangat berbangga apabila ada syarikat-syarikat korporat  seperti Khazanah Nasional yang menyokong karya seni oleh pengkarya tempatan.

"Saya rasa Balai seni Negara juga perlu bekerjasama dengan Think City du Kuala Lumpur dan mencari lokasi sesuai untuk menganjurkan galeri maya untuk Balai Seni Negara," katanya.

Katanya, insiatif sedemikian perlu diadakan lebih banyak lagi bagi memberi peluang kepada orang ramai menyertainya.

Pengunjung, Lai Wei Jian dan rakannya, Lee Yi Min, menyuarakan rasa teruja dengan penganjuran pameran  seni mini ini yang bukan sahaja dapat dilihat dari segi fizikal bahkan dapat mengaksesnya secara maya.

"Pandangan saya, bagi saya dan rakan, kami memang sangat suka seni. Kadang-kadang di pusat membeli belah ada juga diadakan pameran dan kami akan pergi untuk melihatnya, " kata Wei Jian.

"Tadi saya ada tengok satu lukisan seni, dan saya sangat suka lukisan tersebut. Ia sangat menarik" kata Yi Min.

Peminat karya-karya seni jangan lepaskan peluang mengunjungi pameran yang bermula jam 10 pagi hingga 5 petang dan masuk adalah percuma.

Khazanah menyasarkan kira-kira 3,000 pengunjung hadir sepanjang sebulan pameran berlangsung.

Setakat ini, pengunjung pameran seni mini telah mendapat sambutan yang baik daripada komuniti sekitar dan juga pelancong-pelancong dari pelbagai negara.