Kartunis tersohor Datuk Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat, berkata kegiatan berkenaan harus dibuat secara lembut dan bukan dipaksa.
"Ketika zaman saya muda, saya bebas untuk melakukan apa sahaja. Ibu bapa saya menggalakkan saya untuk melakukan pelbagai aktiviti bersama rakan-rakan tidak kira latar belakang.
"Saya tidak cakap bahawa anak-anak muda kita sekarang tidak bergaul di antara satu sama lain. Cuma apabila ada yang kritik dan berkata begitu, saya rasa kita patut salahkan ibu bapa. Mereka harus terus menggalakkan anak-anak mereka melakukan pelbagai aktiviti baik di sekolah atau selepas sekolah," kata Datuk Lat ketika ditemui selepas majlis penutupan kempen #SaySomethingNice di Petaling Jaya.
Datuk Lat turut berkata bahawa perpaduan nasional ini bukan sahaja tanggungjawab pihak atasan semata-mata tetapi memerlukan penglibatan dan sokongan dari seluruh peringkat masyarakat.
“Walaupun dengan teknologi serba canggih, masyarakat tidak lagi rapat. Kita sudah tidak kenal jiran-jiran kita, berbeza dengan situasi di kampung. Anak-anak kita juga mungkin tidak pergi sekolah yang sama, apa lagi bermain bersama.
“Mereka perlu mengenali kaum-kaum lain dengan lebih dekat dan ambil kebaikan dari setiap kaum,” kata beliau.
Datuk Lat menandatangani papan #SaySomethingNice sambil diperhatikan oleh pengasas kempen Anas Zubedy. -Astro AWANI/Syafique Shuib
Sementara itu, pengasas #SaySomethingNice yang juga pengarah urusan Zubedy (M) Sdn Bhd berpuas hati dengan kempen #SaySomethingNice tahun ini.
“Ia lebih meluas dan mendalam. Kempen ini lebih meluas kerana mendapat lebih ramai penyertaan dari pihak syarikat swasta dan juga sekolah. Ia lebih mendalam kerana lebih ramai rakyat Malaysia menyertai kempen seperti #ServeSomethingNice bersama Kenchara Soup Kitchen (dapur jalanan) untuk memberi makanan kepada golongan gelandangan,” kata beliau dalam satu sidang media.
Pada tahun 2015, beliau mengharapkan agar lebih ramai penyertaan agar pada tahun-tahun akan datang ia boleh dibawa ke peringkat nasional.
“Saya mahu ia terus menjadi inisiatif akar umbi. Kita buat inisiatif ini bukan kerana kerajaan suruh kita, tetapi kerana rakyat Malaysia benar-benar mahu melakukan sesuatu yang positif. Saya juga mahukan inisitif ini berkembang secara semula jadi,” kata Anas.
Kempen #SaySomethingNice bermula pada tahun 2011 untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk berkata sesuatu yang positif diantara satu sama lain dan juga negara ini.
Kempen ini berlangsung selama 17 hari iaitu dari 31 Ogos (Hari Kemerdekaan) sehingga 16 September (Hari Malaysia).