Pengasas BeDaie, Muhammad Amar Mirza Abdul Kadir berkata, gaji RM10,000 yang ditawarkan itu sebagai menghargai peranan ilmuan agama yang sering kali terpinggir dalam mendidik umat Islam.
“Usaha kita, kita nak (melahirkan) seramai mungkin guru agama. Namun sebagai permulaan, kita nak mencari 10 orang guru agama yang boleh mengajar di dalam TikTok supaya kita boleh jadikan platform dakwah untuk sebarkan ilmu.
“Guru-guru agama yang kita mahu lahirkan biarlah boleh mengajar al-Quran, Fekah, Tauhid… bukan sahaja secara fizikal tapi di dalam dunia media sosial juga,” katanya.
Melalui program Bedaie TikToks, pihaknya memperuntukkan RM100,000 sepanjang bulan Ramadan ini bagi mencari tenaga pengajar yang berbakat.
Melalui akaun platform media sosial, tenaga pengajar yang berbakat itu akan mengajar al- Quran dan pendidikan Islam kepada orang ramai yang mengikuti kelas secara percuma.
Pemilihan tenaga pengajar itu akan dilakukan secara terperinci dengan melihat pelbagai kelayakan seperti ilmu yang dimiliki dan kaedah penyampaian bahan pengajarannya.
Dalam pemilihan itu juga, Muhammad Amar Mirza berkata, ia tidak tertakluk pada kelayakan memiliki sijil, diploma atau ijazah semata-mata, sebaliknya lepasan sekolah pondok juga diterima sekiranya berkelayakan.
Kataya, usaha yang dilakukan oleh madrasah pengajian islam digital itu adalah untuk memberi kefahaman kepada seramai mungkin rakyat Malaysia yang beragama islam tanpa perlu hadir ke majlis ilmu.