Seramai 10 orang lagi individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di pusat beli-belah Wangsa Walk di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata penangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah yang ditangkap ialah 21 orang termasuk 11 yang ditahan semalam.

Kesemua suspek yang berusia antara 15 hingga 29 tahun kini direman sehingga Jumaat ini dan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya kini sedang mengesan suspek lain dalam kejadian itu.

"Kami sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi memandangkan pergaduhan itu berlaku di beberapa lokasi berbeza," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara itu, Mohamad Roy Suhaimi berkata lima yang cedera dalam insiden itu dilaporkan dalam keadaan stabil dan hanya seorang yang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Pergaduhan berlaku di Wangsa Walk dipercayai akibat tindakan seorang individu cuba menghalang perhubungan adik perempuannya dengan seorang lelaki.