Ezzaty Amin berkongsi cerita dia dibalas dengan RM300 kerana menolong membeli tiket kereta api bagi seorang warga emas, menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya pada Khamis lalu.
Menurut Ezzaty, dia bertemu dengan seorang lelaki berusia 68 tahun yang dipanggil ‘pak cik’ di stesen kereta api Batu Caves ketika ingin membuat perjalanan ke Shah Alam.
Bertemu dengan pak cik tersebut ketika beratur untuk membeli tiket, Ezzaty kemudian belanja pak cik berkenaan setelah mendapati destinasi yang dituju oleh mereka adalah sama.
“Saya beli satu tiket dewasa dan satu tiket warga emas.
“Dia terkejut dan saya pun kata, tak apa pak cik, saya belanja,” tulis Ezzaty.
Difahamkam, sepanjang perjalanan, mereka berbual sambil mengenali diri.
“Sepanjang perjalanan, kami berbual dan pak cik tersebut kemudian memberi kad bisnes beliau kepada saya. Saya tak beri perhatian sangat dan terus menyimpan dalam dompet.
“Kami berbual mengenai keluarga, pekerjaan. Pak cik beritahu dia mualaf dari Sabah dan minta saya 'tasmi’ bacaannya, Surah Luqman ayat 1 hingga 5,” cerita gadis tersebut.
Menurut Ezzaty, pak cik tersebut juga meminta kebenaran untuk melihat buku yang dibawanya berjudul Langit Illahi karya Hilal Asyraf sebelum mereka berpisah.
“Setelah kami sampai ke destinasi kami, pak cik itu berkata, "jadilah orang baik, ikhlas. Pak cik doakan kamu di Mekah". Dia akan (pergi) menunaikan Haji, Ahad ini,”
Ezzaty berkata, dia hanya sedar kewujudan RM300 dalam bukunya selepas dia tiba di rumahnya.
“Apabila saya tiba di rumah, saya lihat RM300 dalam buku saya, dan saya kemudian lihat kad bisnesnya, rupa-rupanya, beliau adalah seorang Kapten dan Pengarah Projek Syarikat Kejuruteraan Marin dan Dredging.
“Mungkin pak cik itu bayar RM2 dengan RM300,” sambung Ezzaty.
Gambar diperoleh dari Facebook Ezzaty Amin
Gadis itu kemudian mengakhiri kisahnya dengan berkata, “Tuhan telah berjanji, kita tidak akan menjadi miskin dengan memberi sedikit dari harta kita untuk kebajikan. Semoga Tuhan membimbing kita semua.”
Setakat ini, posting Facebook beliau tersebut menerima lebih dari 35,269 'likes' dan dikongsi sebanyak 10 ribu kali.
Pengamal media sosial juga tidak melepaskan peluang untuk meninggalkan komen mereka di bawah kenyataan tersebut.
Kebanyakan mereka melahirkan rasa syukur dengan sikap pak cik dan Ezzaty serta dan agak tersentuh dengan cerita tersebut.