KUALA LUMPUR:Pekerja barisan hadapan lebih memerlukan bantuan dari aspek kesihatan mental berbanding orang lain ketika negara masih belum berhenti memerangi COVID-19.

Maklumat itu diperolehi daripada dapatan kajian Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) yang menunjukkan 73 peratus daripada 3,500 responden berasakan sedemikian.

Timbalan Ketua Delegasi ICRC, Zurab Burduli berkata, pekerja barisan hadapan lebih memerlukan bantuan mengatasi masalah mental agar mereka dapat terus berkhidmat dengan efisien kepada masyarakat.

“Daripada tinjauan itu, kebanyakan responden, sekitar 73 peratus setuju bahawa pekerja kesihatan barisan depan lebih memerlukan sokongan mental daripada orang biasa.

“Kita harus ingat garis depan ini mulai dari pekerja kesihatan, pekerja masyarakat dan sosial, banyak lagi yang terdedah secara langsung kepada COVID-19.

“Mereka bekerja berjam-jam, mereka harus berdepan dengan situasi tertekan ini, dan kadang-kadang dengan stigma dalam masyarakat,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambahnya, dalam memastikan kesihatan mental sentiasa dalam keadaan terbaik dalam tempoh pandemik sekarang, beliau menasihatkan agar setiap individu harus mengambil berat setiap maklumat yang diedarkan.

“Akses kepada maklumat sangat penting. Akses kepada maklumat mengurangkan kegelisahan dan perasaan tidak yakin.

“Penyediaan maklumat yang tepat pada masanya, memastikan orang mengetahui tentang apa yang ada sekarang mengenai wabak itu sangat penting.

“Tidak ada kesihatan tanpa kesihatan mental dan ia harus menjadi sebahagian daripada tindak balas kesihatan awam pada COVID-19 sejak hari pertama,” ujar beliau lagi.