Feri yang berlepas jam 2.30 petang dari Terminal Feri Kuala Perlis itu dipercayai berada di kedudukan 0.5 batu nautika daripada Terminal Feri Kuala Perlis.
Pengurus Besar Konsortium Ferryline Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, hujan lebat berserta angin kencang menolak feri daripada laluan asal ke kawasan beting pasir berkenaan.
“Kesemua penumpang selamat dan ketika ini kerja untuk memindahkan mangsa sedang diusahakan. Bagaimanapun kami menghadapi kesukaran dan situasi sedang dipantau pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
“Kerja pemindahan mangsa agak sukar kerana jumlah yang ramai, bagaimanapun kami masih menunggu air laut pasang dan feri dijangka dapat meneruskan pelayaran ke Langkawi pada jam 8 malam ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Dalam pada itu Baharin berkata, tiga perjalanan feri dari Kuala Kedah menuju ke Langkawi, iaitu pada jam 1.30 tengah hari membawa 120 penumpang, jam 2 petang (149 penumpang) dan jam 2.30 petang (410 penumpang) menuju ke Langkawi turut terpaksa berpatah balik ke Terminal Feri Kuala Kedah disebabkan ribut.
Difahamkan, kesemua penumpang telah dipulangkan kos tiket dan ada yang menukar perjalanan feri seterusnya.