Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd Kapten Baharin Baharom berkata, feri itu dapat bergerak selepas berjaya ditarik bot tunda dan meneruskan perjalanan ke Langkawi pada jam 9.05 malam.
“Seramai 567 penumpang feri sebelum ini terkandas di beting pasir di perairan Kuala Perlis selepas belayar dari Kuala Perlis jam 2.30 petang Isnin.
“Semua penumpang selamat sampai di Terminal Feri Penumpang Kuah dan berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Feri tersebut belayar dari Terminal Feri Kuala Perlis pada pukul 2.30 petang Isnin, namun tersangkut pada beting pasir.
Sebelum ini Astro AWANI melaporkan sebuah feri membawa 567 penumpang dari Terminal Feri Kuala Perlis ke Langkawi terkandas di beting pasir di kedudukan 0.5 batu nautika dari Kuala Perlis akibat angin kencang.
Feri terbabit dipercayai ditolak angin kencang hingga membawanya ke beting pasir itu selepas kira-kira 15 minit bertolak.