Fenomena gumpalan buih yang berlaku di Pantai Balok, Kuantan sejak tiga hari lalu adalah petunjuk bagi perubahan kualiti air laut dan berkemungkinan berlakunya pencemaran air.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu Prof Madya Dr Zainudin Bachok berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan fenomena tersebut berlaku akibat pencemaran yang disebabkan perlombongan bauksit.

"Di Balok, kalau kita lihat sebelum ini berlaku macam-macam isu seperti air laut berwarna merah sebab pencemaran...mungkin ianya ada kaitan dengan isu tersebut tetapi ia belum dapat dibuktikan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun, Zainudin berkata fenomena tersebut bukan perkara baharu malah pernah berlaku di beberapa tempat di seluruh dunia.

"Fenomena ini memang biasa berlaku di mana-mana cuma di Pantai Balok ini mungkin atas beberapa faktor sama ada perubahan kualiti air dan tindak balas pengoksidaan yang menghasilkan buih.

"Macam yang pernah berlaku di Sungai Klang...ada banyak bahan organik, maka pengoksidaan berlaku dan ianya akan menghasilkan buih," katanya.

Ditanya sama ada buih tersebut berbahaya untuk orang ramai, Zainudin berkata ia masih belum dapat diketahui selagi sampel kualiti air tidak diambil dan kajian tidak dijalankan.

"Kita tak tahu sama ada buih itu bahaya atau tidak untuk orang ramai tapi buih tersebut merupakan petunjuk terhadap perubahan kualiti air dan kemungkinan berlaku pencemaran.

"Biasanya Jabatan Alam Sekitar akan mengambil sampel air dan memeriksa tahap kandungan bahan tercemar. Kalau tahapnya tinggi, ianya memang tak selamat, tetapi untuk masa sekarang kita masih belum tahu tahapnya...kena ada data dan rekod," katanya.

Fenomena gumpalan buih yang berlaku di pantai tersebut tular di laman sosial sejak kelmarin selepas orang ramai yang mengunjungi pantai tersebut memuat naik gambar yang dirakam di situ.

-- BERNAMA