Pergerakan Fatah pada Sabtu memuji keputusan Malaysia untuk membuka sebuah kedutaan untuk Palestin di Jordan sebagai tanda sokongan dan solidariti yang berterusan kepada perjuangan rakyat di negara itu.

Setiausaha Agung Fatah, Jibril Rajoub ketika dihubungi Bernama berkata ia adalah langkah ke arah Malaysia membuka kedutaannya di negara Palestin yang merdeka pada masa akan datang.

"Kami juga berharap untuk melihat bendera Malaysia di Al Quds, ibu kota Palestin yang merdeka. Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas keputusan mereka yang berani ini," katanya.

Jibril juga berkata pergerakan itu menggalakkan semua negara Islam yang tidak berbuat demikian agar menurut jejak Malaysia.

Jibril bercakap kepada Bernama pada awal Sabtu sebelum berlepas ke Palestin.

Beliau berada di Kuala Lumpur atas kapasitinya sebagai Pengerusi Persatuan Pengakap Palestin untuk lawatan dua hari ke Pergerakan Pengakap Dunia dan Persatuan Pengakap Malaysia di sini yang bermula pada Khamis.

Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembukaan sebuah kedutaan untuk Palestin di Jordan semasa berucap di depan pemimpin dan wakil 120 negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di sidang kemuncak ke-18 badan itu di Baku, Azerbaijan pada Jumaat.


BACA: NAM: Malaysia umum buka Kedutaan untuk Palestin


Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyelar sikap acuh tak acuh komuniti antarabangsa meskipun Israel berterusan menganiaya Palestin dan rakyat di negara itu.

Ketika ini Palestin mempunyai sebuah kedutaan di Kuala Lumpur manakala Duta Besar Malaysia ke Mesir turut mewakili kepentingan Palestin.

Fatah, parti politik terbesar dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), dipimpin oleh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. - BERNAMA