Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata proses semakan kurikulum Sejarah melibatkan kajian terperinci terhadap kurikulum sedia ada dan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk pengamal pendidikan, penyelidik dan masyarakat umum.
Beliau berkata sebarang penemuan atau fakta baharu yang akan dimasukkan di dalam kurikulum Sejarah akan disemak dan diperaku oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM.
"Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM terdiri daripada kalangan pensyarah universiti awam yang telah dikenal pasti mempunyai kredibiliti serta kepakaran mengenai kandungan mata pelajaran tersebut, dan mereka dilantik setelah melalui proses tapisan keselamatan yang ketat.
"Guru cemerlang serta agensi berautoriti dari seluruh negara termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Arkib Negeri, Muzium Negeri, IPG dan badan-badan bukan kerajaan setempat yang sah berkaitan dengan sejarah, budaya dan sosial pula dilibatkan dalam penggubalan dan semakan kurikulum," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) sama ada terdapat perancangan daripada kementerian untuk menggubal silibus subjek Sejarah Malaysia berikutan terdapat dapatan dan fakta-fakta baharu sejarah yang perlu diketahui oleh rakyat khususnya murid dan pelajar sekolah.
Wong berkata penggubalan kurikulum Sejarah mengambil kira Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah (2011-2012).
Beliau berkata KPM juga mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi memastikan fakta dan maklumat dalam buku teks sejarah adakah tepat, seperti mendapatkan pengesahan fakta daripada agensi yang bertanggungjawab antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Arkib Negara Malaysia, Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Muzium Malaysia dan Jabatan Warisan Negara.
"Mana-mana fakta yang belum dibuktikan kesahihannya dan masih dalam kajian tidak boleh dimasukkan dalam buku teks.
"KPM yakin dengan kepakaran panel yang dilantik dan prosedur sedia ada, ia dapat menentukan maklumat dan fakta dalam kurikulum Sejarah adalah tepat dan sahih," katanya.
Menjawab soalan tambahan Nurul Amin sama ada KPM akan memasukkan penggubalan fakta sejarah dalam buku teks tingkatan 4 yang turut mengandungi isu berkaitan Perjanjian Pangkor dan Darurat 1948, Wong berkata penggubalan kurikulum dilakukan secara keseluruhan dengan dimulakan pada tahun satu dan ke peringkat sekolah menengah.
"Pihak KPM dalam menentukan atau muktamadkan kurikulum atau buku teks kita berpandukan kepada pandangan panel pakar kurikulum sejarah dan buku teks sejarah KPM.
"Sejumlah 14 orang panel pakar terlibat dalam panel pakar rujuk ini dan kesemua mereka mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing," katanya.
-- BERNAMA