Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh Fahmi melalui laman Facebook dan Twitternya ketika menafikan beliau ada kaitan dengan kewujudan sebuah lagi akaun Facebook yang dibuka menggunakan namanya.
“Saya menafikan bahawa page °Fahmi Zainol° yang baru dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Saya harap rakyat Sabah tidak termakan dengan perbuatan yang disifat anak-anak ini.
"Saya tidak pernah ada niat sakitkan hati warga Sabah. Jumpa UMS malam ini, kami baru saja dibebaskan oleh pihak polis,” tulis Fahmi di laman Facebooknya.
Terdahulu, Fahmi turut mengesahkan bahawa dirinya serta mahasiswa lain telah ditahan di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
“Pidato selesai di "Gaya Street" pihak polis membawa kami ziarah ke Balai Polis Kota Kinabalu,” katanya ringkas.
Gambar yang dimuat naik oleh Fahmi di laman Facebooknya tengah hari tadi.
Menurut laporan The Malaysian Insider, Fahmi dilaporkan berkata bahawa mereka ditahan kira-kira pukul 12 petang ketika sedang berpidato tentang apa yang berlaku pada ceramah di UM.
Antara mahasiswa yang ditahan adalah dari UM, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu dan Labuan.
Fahmi serta beberapa aktivis lain sepatutnya terlibat di dalam ‘Pidato Mahasiswa’ di Universiti Malaysia Sabah (UMS) malam ini.
Fahmi dan tujuh lagi mahasiswa UM sedang disiasat oleh Lembaga Tatatertib UM susulan tindakannya menganjurkan pidato "40 Tahun: Dari UM ke Penjara" bulan lepas.
Kelapan-lapan mahasiswa itu berdepan pelbagai dakwaan termasuk menganjurkan perhimpunan haram, menghadiri perhimpunan haram dan mengingkari arahan universiti.
Pendengaran tatatertib pertama yang diadakan pada 7 November telah ditangguhkan ke 18 November.
Pada 27 Oktober lepas, sekurang-kurangnya 1,000 mahasiswa dan mahasiswi telah merempuh masuk pintu pagar Universiti Malaya (UM) bagi menghadiri acara pidato bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.